Anda di sini

Tragedi swafoto

Advertisement
 Mayat remaja terbabit diusung ke tebingan untuk pemeriksaan sebelum disahkan meninggal oleh pasukan paramedik. — Gambar ihsan Rosli Zainal Abidin
DITEMUI: Mayat remaja terbabit diusung ke tebingan untuk pemeriksaan sebelum disahkan meninggal oleh pasukan paramedik. — Gambar ihsan Rosli Zainal Abidin

KUCHING: Gara-gara berswafoto tanpa memikirkan keselamatan diri, seorang pelajar terjatuh dari Jambatan Darul Hana sebelum ditemui lemas di Sungai Sarawak, Tebingan Kuching semalam.

Menurut saksi kejadian, Rosli Zainal Abidin ketika dihubungi, sebelum kejadian dia ada melihat remaja berusia 14 tahun itu lengkap berpakaian seragam sekolah duduk di atas penghadang jalan dan berswafoto.

“Kira-kira 10 saat melepasi dia (mangsa), saya terdengar bunyi percikan air yang kuat, apabila saya menoleh ke belakang budak tadi sudah tiada.

“Saya kemudiannya terdengar jeritan ‘budak jatuh... budak jatuh’,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum kejadian itu, Rosli bersiar-siar di atas Jambatan Darul Hana untuk merakam gambar.

Lantasan itu, dia kemudiannya bergegas melihat ke arah sungai dan mendapati gelombang besar dipercayai akibat hempasan objek berat.

Menurut Rosli, wanita yang berada di belakangnya menjerit mengatakan ada budak terjatuh.

Bagaimanapun mayat pelajar terbabit, Kieran Bilong Baginda ditemui kira-kira jam 10 pagi berhampiran kawasan mangsa dikatakan terjatuh.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek, Bilik Gerakan IPD Kuching menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 8.23 pagi memaklumkan kejadian tersebut.

“Sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian dan menurut saksi iaitu rakan sekolah mangsa yang berada di tengah jambatan (dalam jarak 50 meter), melihat mangsa berseorangan dan telah terjatuh dari dek bahagian selatan jambatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ng berkata mangsa adalah remaja lelaki berusia 14 tahun yang merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kuching.

“Kami telah meminta bantuan daripada pihak bomba untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dan tiada unsur jenayah dalam kejadian ini.

“Mayat ditemui dalam jarak 10 meter dari tempat kejadian dan pasukan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat dihantar ke Bilik Mayat HUS untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Pada masa sama beliau berkata, ibu mangsa telah ditemu bual dan percaya tiada unsur jenayah dan kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii memberitahu, mayat mangsa yang lengkap berpakaian seragam sekolah itu ditemui di  permukaan air.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.29 pagi dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Padungan segera digerakkan ke lokasi.

“Pasukan mencari dan menyelamat kemudian menggunakan teknik pencarian di permukaan air dan berjaya menemui mangsa tidak lama kemudian,” katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik HUS yang berada di lokasi insiden sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ia kes pertama berlaku di jambatan yang menjadi mercu tanda baharu bandar raya Kuching.

  • oleh
  • Advertisement