Anda di sini

SMK Oya, Mukah juara Pertandingan Forum Remaja 2018 Peringkat Negeri

Advertisement
 Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah bergambar bersama pelajar dan guru SMK Oya, Mukah yang menjuarai Pertandingan Forum Remaja 2018 Peringkat Negeri.
BANGGA: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah bergambar bersama pelajar dan guru SMK Oya, Mukah yang menjuarai Pertandingan Forum Remaja 2018 Peringkat Negeri.

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Mukah menewaskan empat finalis untuk muncul juara Pertandingan Forum Remaja 2018 Peringkat Negeri semalam.

Kejayaan itu menyaksikan SMK Oya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 selain pelajarnya Nazatul Erna Abdul Malik dinobat Ahli Forum Terbaik yang melayakkannya memenangi hadiah wang tunai RM500.

Kemenangan itu juga adalah yang kedua Mukah memenangi trofi juara dalam tempoh 18 tahun selepas kali terakhir merangkulnya pada 2009.

SMK Marudi, Miri pula di tempat kedua, memenangi hadiah wang tunai RM4,000 manakala SMK Kabong, Betong di tempat ketiga memperoleh RM3,000.

Sareena Cynthia Gerawat dari SMK Marudi juga memenangi anugerah Pengerusi Terbaik dengan hadiah wang tunai RM500.

Dua hadiah sagu hati sebanyak RM1,000 setiap satu menjadi milik SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Kuching dan SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Samarahan.

Sebanyak 13 sekolah dari seluruh negeri mengambil bahagian dalam forum tahun ini yang bermula Sabtu lepas.

Lapan sekolah yang menerima hadiah penyertaan sebanyak RM500 masing-masing ialah SMK Medamit, Limbang; SMK Asyakirin, Bintulu; SMK Kapit No.2, Kapit; SMK Rosli Dhoby, Sibu; SMK St. Anthony, Sarikei; SMK Lubok Antu, Sri Aman; SMK Balai Ringin, Serian dan SMK Bandar Samariang, Kuching.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penutupan yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah DBP Datuk Abdul Adzis Abas dan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee.

Advertisement