Anda di sini

Lagi serangan nekad gegar Indonesia

Advertisement
 Gambar serahan Antara Foto yang dirakam Didik Suhartono menunjukkan polis                 mengacu senapang ke arah seorang lelaki yang sedang diperiksa anggota polis lain selepas letupan bom nekad di ibu pejabat polis yang berhampiran di Surabaya, Indonesia, semalam. — Gambar Reuters
JAGA-JAGA: Gambar serahan Antara Foto yang dirakam Didik Suhartono menunjukkan polis mengacu senapang ke arah seorang lelaki yang sedang diperiksa anggota polis lain selepas letupan bom nekad di ibu pejabat polis yang berhampiran di Surabaya, Indonesia, semalam. — Gambar Reuters

SURABAYA: Dua anggota militan yang menunggang sebuah motosikal telah meletupkan diri mereka sendiri di ibu pejabat polis di bandar raya kedua Indonesia di Surabaya semalam, mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang termasuk anggota polis, kata pihak berkuasa, sehari selepas satu gelombang pengeboman nekad melanda beberapa gereja.

Memetik rakaman CCTV dari tempat kejadian, jurucakap Polis Jawa Timur Frans Barung Mangera berkata seorang lelaki dan seorang wanita yang menunggang sebuah motosikal telah berhenti di pos pemeriksaan.

“Di sanalah letupan telah berlaku,” tambah beliau.

Pihak berkuasa berkata mangsa yang tercedera termasuk enam orang awam dan empat anggota polis.

Beberapa ambulans dan skuad bom tiba di tempat kejadian yang huru-hara dengan imej CCTV menunjukkan sebuah motosikal yang remuk di pintu pagar keselamatan di ibu pejabat yang terletak di tengah-tengah bandar.

Tiada pengakuan bagi siapa yang bertanggungjawab selepas pengeboman nekad terbaharu.

“Ini adalah satu tindakan bersifat pengecut, tidak bermaruah dan tiada perikemanusiaan,” Presiden Indonesia Joko Widodo memberitahu wartawan di Jakarta.

“Tidak akan ada kompromi dalam mengambil tindakan di atas dasar untuk menghalang keganasan.”

Letupan itu berlaku hanya sehari selepas sebuah keluar-ga seramai enam orang termasuk dua anak perempuan yang masih kecil melakukan pengeboman maut di tiga gereja di Surabaya semasa sembahyang kelmarin.

Sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh dalam serangan tersebut, yang telah diakui oleh kumpulan Daesh (IS), dan angka mungkin meningkat dengan lebih 40 orang tercedera di hospital.

Negara kepulauan dengan kira-kira 17,000 pulau itu sudah lama berdepan dengan kegiatan militan Islam, termasuk pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 nyawa – kebanyakannya pelancong asing – dalam serangan pengganas terburuk di negara ini.

Pengeboman gereja kelmarin merupakan serangan paling berdarah di Indonesia sejak beberapa tahun. Penye-rang tersebut – seorang ibu dan bapa, dua anak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun, dan dua anak lelaki berusia 16 dan 18 tahun – telah dikaitkan dengan rangkaian ekstremis tempatan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang menyokong IS, jelas polis.

Pihak berkuasa berkata mereka mempercayai bebe-rapa orang daripada keluarga tersebut telah pulang baru-baru ini dari Syria, di mana ratusan rakyat Indonesia berkumpul sejak beberapa tahun untuk berjuang di samping IS dalam usahanya  untuk menubuhkan sebuah kerajaan  yang diperintah oleh undang-undang Islam yang ketat.

Seramai tiga orang lagi dalam keluarga lain terbunuh dan dua tercedera apabila sebiji bom lain meletup di sebuah kompleks apartmen kira-kira 30 kilometer dari Surabaya, hanya beberapa jam kemudian, kata polis.

Ibu dan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat letupan sementara polis menyatakan mereka telah menembak mati bapa yang membawa peledak bom.

Dua kanak-kanak lain tercedera dalam letupan itu dan dibawa ke hospital.

Tidak ada pengakuan bertanggungjawab segera bagi bom apartmen.

Dalam serangan gereja, si ibu, dikenali sebagai Puji Kuswati, dan dua anak pe-rempuannya memakai tudung berniqab dan mempunyai bom yang dilekatkan di pinggang mereka ketika mereka memasuki kawasan Gereja Kristen Indonesia Diponegoro dan meletupkan diri mereka sendiri, menurut polis.

Si bapa, pemimpin kumpulan JAD Dita Priyanto, telah memandu sebuah kereta yang membawa bom ke arah Surabaya Centre Pentecos-tal Church sementara dua anak lelakinya menunggang motosikal ke arah gereja Santa Maria, di mana mereka meletupkan bahan letupan yang mereka bawa, kata pihak berkuasa.

JAD, diketuai oleh radikal yang dipenjarakan Aman Abdurrahman, telah dikaitkan dengan beberapa insiden maut, termasuk satu sera-ngan bersenjata dan nekad 2016 di ibu negara Jakarta yang menyebabkan empat penyerang dan empat orang awam terbunuh.

Itu merupakan  serangan pertama yang diakui oleh IS di Asia Tenggara.

Kelmarin pihak polis me-nyatakan empat anggota JAD yang disyaki telah terkorban dalam satu kejadian tembakan semasa serbuan dikaitkan dengan rusuhan penjara maut pada minggu ini.

Lima anggota skuad elit antikeganasan di Indonesia dan seorang banduan terbunuh dalam pertempuran yang melihat banduan Islam menjadikan seorang pengawal sebagai tebusan di sebuah penjara kawalan ketat di luar Jakarta. IS telah mengaku bertanggungjawab.

Karnavian berkata serangan gereja kelmarin mungkin merupakan tindakan balas dendam bagi penahanan beberapa pemimpin JAD dan bagi krisis penjara yang kemudian melihat banduan radikal menyerah diri. — AFP

Advertisement