Anda di sini

Serangan berpisau di tengah Paris

Advertisement
 Seorang lelaki yang cedera ditikam terbaring di atas jalan di Rue Marsollier, Paris kelmarin dalam gambar yang diperolehi daripada media sosial. — Gambar Reuters
MALANG: Seorang lelaki yang cedera ditikam terbaring di atas jalan di Rue Marsollier, Paris kelmarin dalam gambar yang diperolehi daripada media sosial. — Gambar Reuters

PARIS: Seorang lelaki bersenjatakan pisau ditembak mati anggota polis di tengah Paris lewat kelmarin selepas membunuh seorang mangsa dan mencederakan empat orang lagi, menimbulkan siasatan keganasan dan panik di jalan raya bandar utama Perancis.

Serangan berlaku berhampiran rumah opera utama di bandar ini di kawasan yang penuh dengan bar, restoran dan teater yang rancak pada malam hujung minggu.

Beberapa saksi menyatakan keadaan panik ketika penduduk Paris menyedari satu lagi serangan keganasan berlaku di sebuah negara yang telah berdepan dengan rangkaian serangan jihad sepanjang tiga tahun lepas yang mengorbankan lebih 245 orang.

“Saya sedang mengambil pesanan dan melihat seorang wanita muda cuba memasuki restoran dalam keadaan panik,” kata Jonathan, seorang pelayan lelaki di sebuah restoran Korea.

Wanita tersebut mengalami pendarahan dan penyerang kelihatan mengekorinya.

Beliau menyatakan seorang pemuda cuba menghalang penyerang yang kemudian melarikan diri.

“Penyerang memasuki sebatang lebuh beli-belah, saya melihat dia memegang sebilah pisau.

“Dia kelihatan tidak waras,” kata beliau.

Milan, 19, menyatakan beliau melihat beberapa orang dalam keadaan tegang, termasuk seorang wanita dengan kecederaan pada bahagian leher dan kakinya.

“Anggota bomba memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa.

“Saya mendengar dua tiga das tembakan dan seorang anggota polis memberitahu saya bahawa lelaki itu telah berjaya ditewaskan,” katanya lanjut.

Dalam kenyataan Twitter Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan: “Perancis sekali lagi membayar nilai pertumpahan darah.”

Pihak pendakwa raya memetik beberapa saksi sebagai menyatakan lelaki itu melaungkan ‘Allahu akbar’ (Allah Maha Besar) ketika melakukan amukan, dan menambah bahawa satu siasatan keganasan telah dilancarkan.

Kumpulan Islamic State (IS) telah mengaku bertanggungjawab, menurut kumpulan pemerhati SITE, namun tidak memberikan bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.

“Pelaku dalam operasi tikaman di bandar Paris adalah seorang anggota tentera Islamic State dan operasi telah dilakukan sebagai respons kepada permintaan untuk menyasarkan negara pakatan,” sumber keselamatan memberitahu agensi berita rasmi IS Amaq, menurut SITE.

Dua daripada mangsa yang tercedera didapati parah dan segera dikejarkan ke hospital, namun Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb kemudian memberitahu wartawan semua mangsa tidak berada dalam keadaan bahaya.

“Saya melihat mangsa yang mengalami kecederaan paling serius kini bertambah pulih, dia telah diselamatkan,” menurut beliau.

Perdana Menteri Perancis Edouard Philippe menyatakan pihak polis berada di tempat kejadian dalam tempoh lima minit selepas serangan dan kira-kira sembilan minit kemudian penyerang telah terkorban, tambah beliau lagi.

“Kepantasan respons dengan jelasnya berjaya mengelakkan jumlah kematian yang lebih besar,” kata beliau.

Seorang sumber polis memberitahu, seorang anggota polis cuba menghalang penyerang dengan senjata Taser namun apabila ia gagal, seorang rakan setugasnya menembak mati lelaki tersebut.

Serangan berlaku di bahagian kedua Rue Monsigny di kawasan yang terletak antara rumah opera utama dan muzium Louvre, dua tarikan utama pelancong.

Satu kawasan luas disekat di mana kenderaan polis, bomba dan penyelamat berkumpul tatkala pelancong dan penduduk yang terkejut melihat dari belakang sekatan keselamatan.

Seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Maxine menyatakan, keadaan panik tersebar ketika maklumat dikeluarkan bahawa satu serangan telah berlaku.

“Kami melihat seseorang muncul keluar dari bangunan yang menyatakan beliau telah melihat penyerang membunuh seseorang, maka orang lain berlindung di dalam bar,” jelas beliau.

Perancis telah mengalami siri serangan utama Islamis termasuk pembunuhan beramai-ramai di pejabat akhbar satira Charlie Hebdo, serangan pada November 2015 yang mengorbankan 130 orang di Paris dan serangan trak Hari Bastille 2016 di Nice yang membunuh lebih 80 orang.

Satu perintah darurat selepas serangan Paris 2015 ditarik balik pada Oktober ketika kerajaan haluan tengah Macron mengemukakan undang-undang baharu meningkatkan kuasa pasukan keselamatan.

Pemimpin haluan kanan Perancis Marine Le Pen menyeru langkah keselamatan lebih ketat selepas serangan kelmarin. — AFP

Advertisement