Anda di sini

Rempuhan maut ketika pertabalan presiden Sierra Leone

Advertisement
 Seorang wanita yang cedera dalam rempuhan itu dibawa anggota polis ke tempat selamat semasa majlis angkat sumpah Bio di Freetown, kelmarin. — Gambar AFP
DIBANTU: Seorang wanita yang cedera dalam rempuhan itu dibawa anggota polis ke tempat selamat semasa majlis angkat sumpah Bio di Freetown, kelmarin. — Gambar AFP

FREETOWN: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 20 tercedera kelmarin dalam kejadian rempuhan di stadium utama Sierra Leone yang penuh sesak dengan puluhan ribu orang yang berkumpul sempena majlis angkat sumpah presiden negara yang baharu Julius Maada Bio, menurut pihak polis dan Palang Merah.

Ribuan berbaris penuh sabar sejak pagi untuk memasuki stadium, namun kemudian para penyokong Bio cuba masuk secara paksa melalui laluan yang disediakan bagi kenderaan tetamu jemputan, mencetuskan tindakan polis dan rempuhan.

“Saya hanya dapat mengesahkan seorang terkorban namun ramai lagi yang tercedera,” menurut seorang anggota polis, bercakap dalam majlis yang menarik jemputan seperti bekas legenda bola sepak dan Presiden Liberia sekarang George Weah serta para pemimpin dari Senegal, Mali dan Togo.

“Angka kematian mungkin bertambah kerana kami masih menerima mangsa yang tercedera dari stadium,” menurut ketua Palang Kerah Unisa Carew.

Seorang wartawan AFP menyatakan terdapat kekecohan di stadium selepas rempuhan namun majlis tetap dijalankan.

Bio memegang jawatan pada awal April selepas satu kempen pilihan raya, menamatkan pemerintahan sedekad All People’s Congress (APC).

Seorang bekas tentera yang mengetuai seketika junta tentera selama lebih dua dekad, Bio mendapat undian sebanyak 51.81 peratus dalam pilihan raya dengan calon parti pemerintah Damura Kamara mendapat 48.19 peratus.

Ekonomi Sierra Leone sedang pulih akibat peperangan dan penyakit serta masih belum kukuh dengan para pelabur mula kembali, sementara amalan rasuah semakin tersebar meluas. — AFP

Advertisement