Anda di sini

4 maut dalam insiden pengeboman ibu pejabat polis di Jawa Timur, Indonesia

Advertisement
Letupan bom berlaku pada pukul 8.50 pagi waktu tempatan ketika polis melakukan pemeriksaan ke atas dua individu yang menaiki motosikal. - Foto AFP

JAKARTA: Empat pengebom bunuh diri maut manakala empat anggota polis dan enam orang awam cedera dalam satu serangan ke atas ibu pejabat polis di Surabaya, ibu kota wilayah Jawa Timur di Indonesia pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.

Letupan bom berlaku pada pukul 8.50 pagi waktu tempatan ketika polis melakukan pemeriksaan ke atas dua individu, seorang daripadanya wanita, yang menaiki sebuah motosikal dan cuba memasuki kawasan pejabat polis, kata jurucakap polis wilayah Pesuruhjaya Kanan Frans Barung Mangera.

Beliau berkata, penunggang motosikal itu bersama dua individu lain yang menaiki sebuah lagi motosikal.

Sementara itu, sebuah skuad anti keganasan terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan anggota kumpulan militan di desa Jedong di Kecamatan Sukodono dalam wilayah sama.

Dalam insiden itu, seorang telah ditembak dan enam butir bom dirampas. 

Polis telah menahan dua lelaki dan seorang wanita berdasarkan paparan foto. 

Letupan di ibu pejabat polis berlaku selepas insiden pengeboman tiga gereja dan letupan di sebuah flat sehari sebelum itu, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 14 orang serta mencederakan berpuluh-puluh lagi. - BERNAMA

Advertisement