Anda di sini

Tuntut hak Sabah antara keutamaan tertinggi Warisan

Advertisement

 KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah yang baharu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah satu daripada keutamaan tertinggi diperjuangkan kerajaan yang dipimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, perkara itu jelas dalam manifesto parti berkenaan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan hak Sabah berkenaan bukan hanya perlu didengar oleh Kerajaan Persekutuan tetapi perlu dihormati.

SHAFIE (tiga kanan) disambut Goh (kiri) ketika tiba dikejohanan itu.
SHAFIE (tiga kanan) disambut Goh (kiri) ketika tiba dikejohanan itu.

"Sudah tentu (hak Sabah di bawah MA63) merupakan salah satu keutamaan tertinggi yang kita akan pastikan supaya ia bukan hanya didengar, bukan hanya diketahui, bukan hanya dikenali oleh Kerajaan (Persekutuan) tetapi (Kerajaan Persekutuan) perlu memenuhi apa-apa tuntutan hak orang Sabah dalam pembentukan Malaysia.

Kita sayang negara kita, kita cintai negara kita. Tetapi dalam kita mencintai negara kita, kita perlu, bukan hanya dihormati, didengari, dikenali apa-apa hak Sabah itu tetapi apa-apa yang termaktub dalam perjanjian itu bukan hanya ditunaikan tetapi dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCASS Ke-5 di Teluk Likas hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

 Menurut Mohd Shafie, memenuhi tuntutan hak Sabah berdasarkan MA63 itu adalah satu langkah mengukuhkan lagi perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia berasaskan hormat menghormati hak masing-masing.

"Bukan hanya hormat-menghormati  tetapi kalau dapat menunaikan hak tuntutan wilayah-wilayah ini, saya yakin ini merupakan ramuan yang sudah dinantikan lebih 50 tahun oleh rakyat Malaysia di Sabah untuk menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Mohd Shafie, rakyat Sabah berhak untuk merasai nikmat pembangunan menyeluruh dan bukannya tertumpu di bandar-bandar seperti Kota Kinabalu sahaja tetapi di kawasan luar bandar seperti Kunak, Pensiangan, Sipitang yang masih dahagakan pembangunan.

Bagaimanapun, katanya, untuk membangunkan kawasan luar bandar yang masih tertinggal, ia tidak boleh dilakukan sekelip mata atau setahun dua sebaliknya memerlukan sedikit masa.

Beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, termasuk sistem pentadbiran kerajaan negeri dan pusat,  kerjasama kerajaan negeri dan pusat serta kesediaan untuk mengimbangi pembangunan di negara ini, Sabah tidak akan ketinggalan.

Mengenai Kabinet Negeri yang akan ditubuhkan, Mohd Shafie berkata senarai itu telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan senarai itu termasuk mewujudkan dua kementerian baharu di bawah pentadbirannya sebagai ketua menteri.

Katanya barisan Kabinet Negeri berkenaan akan melambangkan kerjasama Warisan dan Pakatan Harapan dalam PRU14 serta mentadbir negeri Sabah.        

Mengenai penyertaan parti Warisan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan, Mohd Shafie berkata beliau sudah menyerahkan beberapa nama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan.

Katanya berdasarkan kerjasama rapat Warisan dan Pakatan Harapan dalam PRU14 baru-baru ini maka sudah semestinya ada wakil dari Sabah di peringkat persekutuan.-Bernama.

Advertisement