Anda di sini

Tempatkan helikopter tempur di Esszone

Advertisement

TAWAU: Kementerian Pertahanan diharap mengambil berat keperluan menempatkan helikopter tempur untuk memperkasakan pertahanan negara khasnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Keperluan itu dilihat perlu diberi keutamaan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam usaha menangani kes pencerobohan seperti aktiviti kumpulan culik dan tebusan (KFR).

AHDIE Dodds
AHDIE Dodds

Naib Pengerusi BIMP-EAGA Malaysia Business Council (BEBC) merangkap Pengerusi BEBC Tawau Ahdi Dodds berkata gesaan itu sudah lama disuarakan oleh warga Esszone.

“Sebelum ini, kita pernah mengusulkan kepada Kerajaan Persekutuan, namun masih belum ada tanda-tanda logistik ketenteraan helikopter tempur akan diletakkan di Esszone.

“Kita tahu Perdana Menteri berminat mahu beri keutamaan pesawat tanpa juruterbang Unmanned Aerial Vehicle (UAV) tetapi jangan abaikan helikopter tempur,” katanya.

Ahdie berkata pelantikan Mohamad sebagai pentadbir baharu Kementerian Pertahanan juga wajar disambut positif warga Malaysia, termasuk penduduk di wilayah Esszone.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk mempertikaikan keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Mohamad Menteri Pertahanan baharu, sebaliknya rakyat perlu memberinya peluang.

Namun menteri itu diharap melihat situasi di sempadan kerana ‘ada banyak tekanan’ yang menjejaskan aktiviti ekonomi antara Sabah dengan wilayah di Indonesia dan Filipina.

ISMAIL Awang
ISMAIL Awang

Pengerusi Perhubungan Pertubuhan Kebajikan Budiman Malaysia (Budiman) Ismail Awang juga berharap kementerian terus memperkasakan logistik ketenteraan di Esszone.

“Lihat tuntutan situasi semasa supaya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan di sempadan,” katanya.

Beliau berkata pemasangan radar yang canggih juga juga perlu untuk membolehkan langkah kawalan dan pemantauan perairan negara di Esszone dapat diperhebatkan.

Beliau percaya sekiranya kemudahan itu dinaik-taraf, usaha memantau pergerakan keluar-masuk yang mencurigakan dapat dikesan lebih awal untuk tindakan cepat Esscom.

“Kita juga berharap supaya Kem Tentera Kalabakan dinaiktaraf sepenuhnya dari segi peralatan, bangunan serta menambah bilangan tentera yang bertugas di kawasan terbabit.

“Kalabakan lokasi tumpuan ‘jalan tikus’ darat, laut dan sungai, justeru wujud keperluan supaya kementerian melihatnya sebagai kawasan yang perlu diberi tumpuan,” katanya.

Menyentuh mengenai Perintah Berkurung pula, beliau berharap langkah penguatkuasaan larangan itu dapat diteruskan kerana terbukti keberkesanannya semenjak dikuatkuasakan.

 ANDI Muhd Suryady Bandy
ANDI Muhd Suryady Bandy

Pengerusi Gabungan Belia Bersatu Daerah Tawau Andi Muhd Suryady Bandy pula mahu melihat pendekatan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap isu keselamatan di Esszone.

“Secara peribadi, kita berharap segala usaha murni kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) dapat diteruskan oleh kerajaan baharu pimpinan Tun Mahathir,” katanya.

Beliau juga berharap Menteri Pertahanan tidak mengambil mudah isu keselamatan kerana menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan sempadan negara sentiasa terjaga.

Beliau berkata jika selama ini PH sentiasa mempertikaikan pendekatan BN mewujudkan Esscom dan Esszone, kini Kerajaan PH perlu membuktikan kritikan mereka selama ini.

“Kerajaan PH perlu mengambil langkah berkesan untuk menstabilkan wilayah Esszone, sekurang-kurangnya mencegah ancaman aktiviti Daesh, Abu Sayyaf dan KFR,” katanya.

Andi berkata walaupun latar belakang ilmu ketenteraan Menteri Pertahanan yang baharu ‘tidak jelas’, namun Mohamad diharap mampu menggalas tugasnya dengan baik.

Pada masa sama, beliau berharap arahan Perintah Berkurung di Tawau dapat dikaji semula pelaksanaannya dan melihatnya dari aspek kepentingan aktiviti ekonomi.

“Ekonomi di Tawau bergantung kepada pelabur dan peniaga dari Indonesia, justeru kita harap arahan itu dapat dihentikan di daerah ini dan barter-trade dibuka semula,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement