Anda di sini

S4S gesa kerajaan negeri untuk berdiri sendiri, tidak sertai PH

Advertisement
 
 

KUCHING: Gerakan Sarawak For Sarawak (S4S) berhimpun secara aman di Tebingan Kuching hari ini bagi mendesak Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), dan menubuh kerajaan sendiri demi kebaikan negeri ini.

Himpunan aman yang disertai kira-kira 40 orang itu turut meminta kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk berdiri sendiri tanpa perlu terikat dengan parti dari Semenanjung Malaysia.

Jurucakap himpunan aman, KC Tan berkata, BN Sarawak yang diterajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus membuat pilihan yang tepat agar perjuangan menuntut kembali Hak-hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dicapai.

"Saya beranggapan adalah lebih baik untuk BN Sarawak yang diterajui PBB membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu menyertai PH.

"Ini penting agar mereka lebih vocal (lantang) dalam menyuarakan dan menuntut hak-hak Sarawak mengikut MA63, dan kita di S4S menyokong sekiranya BN Sarawak berdiri sendiri kerana inilah masa yang sesuai," katanya ketika ditemui di sini.

 

Namun, Tan berkata, ia terpulang kepada Abang Johari untuk menentukan hala tuju Sarawak tanpa menjejaskan perjanjian dan matlamat dalam menuntut hak negeri ini.

Pada masa sama, Tan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan janji PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 terutamanya dalam mengembalikan semula hak-hak Sarawak yang terhakis.

"Himpunan pagi ini juga bertujuan untuk menuntut kerajaan baharu di bawah PH menunaikan janji mereka terutamanya berkaitan MA63.

"S4S akan terus mendesak agar hak-hak Sarawak dikembalikan semula dan MA63 sentiasa dihormati," ujarnya.

 
  • oleh
  • Advertisement