Anda di sini

Dadah terus digempur

Advertisement
 Kenderaan suspek yang disita.
DISITA: Kenderaan suspek yang disita.
 Dadah yang ditemui dalam serbuan tersebut.
BARANG KES: Dadah yang ditemui dalam serbuan tersebut.

KUCHING: Dua penganggur berhadapan hukuman mati jika sabit kesalahan selepas didapati memiliki pelbagai jenis dadah dalam satu serbuan ke atas sebuah hotel di Jalan Abell di sini, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superitenden Sahar Abd Latif berkata, kedua-dua suspek yang berusia 22 (wanita) dan 33 (lelaki) tahun itu ditahan anggotanya hasil maklumat awam dan risikan polis sekitar jam 11 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel tersebut menemui satu beg silang yang didapati mengandungi satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ekstasi.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg tangan tersebut juga menjumpai satu dompet dan di dalamnya mengandungi keratan penyedut minuman berisi hablur putih disyaki dadah jenis Ketamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas peti besi yang berada dalam almari di bilik tersebut juga menjumpai satu plastik hitam yang mengandungi 80 peket plastik dipercayai dadah jenis syabu.

Selain itu, turut ditemui satu bekas plastik yang mempunyai lapan peket plastik mengandungi hablur putih disyaki dadah jenis Ketamin dan alat penimbang digital.

“Aktiviti pengedaran dadah (suspek) dipercayai bermula dari awal tahun ini dan hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek juga didapati positif dadah.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil memberitahu suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau juga di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Sahar berkata, turut disita sebuah kereta dengan anggaran nilai RM70,000 dan wang tunai berjumlah RM2,642.

Tambahnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM43,180.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement