Anda di sini

BN Sarawak tidak sertai Pakatan - Abang Johari

 

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) seperti yang disiarkan sebuah portal berita sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan seperti sewajarnya.

"Kita akan bekerjasama kerana dalam sistem persekutuan ada menggariskan kerjasama dalam bidang tertentu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Itu sahaja (kerjasama yang kita maksudkan)," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam bersama speaker dan penaja IDECS 2018 di sini, malam Ahad.

Sebelum ini, ketegasan BN Sarawak untuk tidak menyertai Pakatan turut disuarakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Malah, Pakatan Harapan Sarawak turut enggan menerima penyertaan BN Sarawak.

Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak turut menegaskan beliau tidak pernah membuat tawaran untuk bergabung dengan PH, ekoran kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Mengenai pelan pembangunan yang dirancang sebelum ini, beliau berkata ia tidak akan terjejas kerana menggunakan dana kerajaan negeri.

Namun demikian bagi projek di bawah kerajaan persekutuan yang dirancang dan sedang dilaksanakan di Sarawak, beliau menyerahkannya kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.