Anda di sini

Tun Taib jumpa Tun Dr Mahathir bincang kedudukan BN Sarawak?

Advertisement

KUCHING: Wujud khabar angin mengatakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Wujud persoalan adakah perjumpaan itu berhubung kedudukan Barisan Nasional (BN) Sarawak susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sumber daripada pemimpin negeri yang enggan didedahkan nama, mengesahkan wujud perjumpaan antara dua tokoh itu. Bagaimanapun katanya, ia kerana menghadiri majlis angkat sumpah Tun Dr Mahathir di Istana.

Sumber itu menyifatkan ia perjumpaan antara kawan lama.

Satu lagi sumber mengatakan Tun Taib berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri pertandingan tilawah al-quran antarabangsa.

Yang pasti menurut sumber itu, malam Sabtu dua tokoh itu akan mengadakan perjumpaan.

Ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum ini, Tun Taib merupakan Ketua Menteri Sarawak.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan perjumpaan itu adalah bagi berbincang BN Sarawak menyertai PH.

Pada masa ini, BN Sarawak merupakan pembangkang di peringkat persekutuan selepas PH menumbangkan BN di peringkat persekutuan.

Portal itu turut melaporkan Tun Taib akan memanggil Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg susulan perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir.

Dan selepas itu, Abang Johari akan mengadakan mesyuarat dengan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri BN Sarawak pada minggu depan.

BN Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada PRU14, BN Sarawak menang 19 daripada 31 kerusi.

Advertisement