Anda di sini

Larry Sng, Jugah masuk PKR bersama Entulu dan Entri

Advertisement
Entulu, Larry, Jugah dan Entri bersama Zuraida menunjukkan borang penyertaan masuk PKR.
Entulu, Larry, Jugah dan Entri bersama Zuraida dan Baru menunjukkan borang penyertaan masuk PKR.

KUCHING: Dua Ahli Parlimen bertanding sebagai calon BEBAS dari Sarawak, Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu.

Larry ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, dan turut mengesahkan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan bekas menteri muda dalam kabinet Sarawak Datuk Sylvester Entri Muran ke dalam parti tersebut.

Entulu merupakan bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dipecat daripada parti sehari sebelum Barisan Nasional (BN) mengumumkan nama calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Entri merupakan bekas pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP).

Larry yang juga pernah menjawat jawatan menteri muda dalam kabinet Sarawak ketika berada dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS) menewaskan penyandang Datuk Joseph Salang Gandum daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 

Jugah pula menewaskan Nicholas Bawin Anggat (PKR) dan Robert Pasang Alam (BN).

Dua kerusi tersebut diperuntukkan BN kepada PRS. 

Entulu dan Entri tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan.

BERNAMA melaporkan, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengesahkan enam pemimpin politik Sarawak termasuk dua Ahli Parlimen menyertai PKR.

Selain dua kerusi itu, PKR kini mempunyai enam kerusi Parlimen di Sarawak - Puncak Borneo (Willie Mongin), Selangau (Baru Bian), Miri (Dr Michael Teo) dan Saratok (Ali Biju).

Advertisement