Anda di sini

Miliki tiket loteri haram, pemuda didenda

Advertisement

MIRI: Gara-gara memiliki sekeping tiket loteri haram, seorang pemuda didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Kelvin Ting Chiong Chiew, 25, dari Desa Senadin di sini, didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, sekitar jam 3.55 petang, 21 Mac lalu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri diketuai ASP Unang Giang telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kedai di Desa Senadin di sini.

Dalam pemeriksaan itu, polis telah menangkap seorang lelaki yang bekerja di kedai berkenaan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan loteri haram.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas beberapa barang seperti sekeping kertas tercatat nombor pertaruhan nombor ekor haram, satu unit telefon bimbit, satu kalkulator dan wang tunai RM113.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement