Anda di sini

Kerajaan Pakatan namakan 10 kementerian - Tun Mahathir

Advertisement
Tun Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary hari ini. - Gambar Bernama.
Tun Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary hari ini. - Gambar Bernama.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan hari ini bersetuju mewujudkan kabinet kecil mengandungi 10 kementerian.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata 10 kementerian itu ialah Kewangan, Dalam Negeri, Pertahanan, Pendidikan, Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Luar Negeri dan Multimedia, Sains dan Teknologi.

Sepuluh kementerian itu perlu diisi segera, katanya, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kerajaan Pakatan yang baru dibentuk selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

“Kami tidak mahu mempunyai kabinet yang besar bagaimanapun ada kementerian tertentu yang perlu diisi segera, “ katanya.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah empat pemimpin parti gabungan dalam Pakatan iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah.

Beliau berkata Majlis Presiden Pakatan mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini untuk membincangkan beberapa dasar tertentu yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya Pakatan.

Dr Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia malam tadi,  berkata nama-nama menteri yang akan menerajui kementerian masing-masing akan diumumkan esok.

Beliau berkata susulan mesyuarat hari ini, setiap parti akan mengadakan mesyuarat masing-masing untuk memutuskan kementerian mana yang mereka mahukan dan nama-nama calon mereka.

“Ini tidak bermakna semua cadangan mereka akan diterima kerana esok kami akan mengadakan mesyuarat penuh majlis presiden. Pada majlis presiden itu kami akan memuktamadkan nama-nama dan kementerian yang perlu kami isi.

“Ini tidak bermakna parti kami tidak bersatu. Kami merupakan satu parti tetapi adalah penting semua parti diwakili dalam kabinet kami,” katanya.

Setakat ini, katanya, jawatan yang diisi ialah beliau sebagai perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Dr Mahathir menegaskan bahawa empat  parti dalam gabungan itu akan mempunyai peranan yang sama tanpa sebarang diskriminasi.

Semasa ditanya sama ada beliau akan memegang dua portfolio, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata ia akan diputuskan esok.

Menjawab satu soalan sama ada beliau akan mula masuk pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin, Dr Mahathir menjawab: "Ini perkara kecil. Di sini pun saya boleh bekerja juga."

Sidang akhbar itu diadakan di Yayasan Al-bukhary di sini. - BERNAMA

Advertisement