Anda di sini

Sambutan Hari Bung Bratak lebih besar dan hebat tahun depan

Advertisement
 Minos (tengah) bersama (dari kanan) Natalie, Jemima dan Valerie serta penganjur Miss Borneo Bau Wendy Ernest (kiri) pada majlis makan malam penghargaan Sambutan Hari Bung Bratak yang diadakan pada 1 Mei lalu.
PENGHARGAAN: Minos (tengah) bersama (dari kanan) Natalie, Jemima dan Valerie serta penganjur Miss Borneo Bau Wendy Ernest (kiri) pada majlis makan malam penghargaan Sambutan Hari Bung Bratak yang diadakan pada 1 Mei lalu.

SAMBUTAN Hari Bung Bratak (HBB) pada tahun hadapan akan diadakan dalam skala lebih besar dan hebat dengan penglibatan tujuh kampung Bidayuh Jagoi-Babang dari Kalimantan Barat.

Pengerusi  Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) Datuk Peter Minos berkata, sambutan Hari Bung Bratak (HBB) yang disambut 1 Mei setiap tahun juga akan dilakukan bermula malam 30 April 2019.

“Kita akan membuat persiapan lebih awal untuk mengadakan Sambutan Hari Bung Bratak pada skala lebih besar dan hebat tahun hadapan apabila semua fasiliti di Pusat Warisan Bung Bratak termasuk jalan berturap ke situ sudah boleh digunakan pada 1 Januari 2019.

“Kita akan cuba mendapatkan permit lintas batas untuk kawan-kawan kita dari tujuh kampung di Kalimantan Barat agar mereka dapat sama-sama memeriahkan lagi sambutan Hari Bung Bratak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam penghargaan sambutan HBB di sebuah restoran di Kuching, baru-baru ini.

Minos memberitahu pada sambutan 1 Mei lalu, selepas 10 tahun menyepi, HBB disambut semula dan ternyata ia mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti Bidayuh Jagoi-Bratak dan pelancong.

“Kita sangka yang hadir hanya lebih 1,000 orang tetapi saya dimaklumkan hampir 5,000 pengunjung dan pelancong datang untuk menyaksikan sambutan Hari Bung Bratak.

“Ia suatu yang saya tidak sangka, semua makanan dan barangan cenderahati habis dijual pada jam 11 pagi, jadi tahun hadapan kita membuat persiapan untuk 5,000 orang,” katanya.

Katanya lagi, BBHA akan berusaha untuk menjadikan sambutan HBB sebagai salah satu produk ekopelancongan terbaik di Borneo.

Menurutnya BBHC mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai pusat pemeliharaan budaya dan menghargai sejarah yang terbaik di Borneo.

Bung Bratak membawa maksud Bukit Bratak terletak di Kampung Tembawang Sauh di Kuching merupakan tapak penempatan asal Bidayuh dari Sungkong Indonesia kira-kira 750 tahun yang lalu.

Tambahnya, sambutan HBB sangat istimewa untuk 36 kampung didiami suku kaum Bidayuh Jagoi-Bratak di Bau dan Lundu kerana mereka berasal dari penempatan terawal suku kaum itu.

Hadir sama, Pemenang Miss Borneo Bau 2018 Natalie Edwin serta pemenang tempat kedua Valarie Alyn Morgan dan Jemima Fae James pemenang tempat ketiga serta ahli-ahli jawatankuasa penganjur sambutan HBB 2018.

Advertisement