Anda di sini

Projek pembinaan Tebingan Miri kini di peringkat akhir

Advertisement
 Arca kuda laut yang akan menjadi ikon kebanggaan Miri bersedia untuk dipasang di hadapan tebing dan menghadap kuala Sungai Miri serta Laut Cina Selatan.
PERINGKAT AKHIR: Arca kuda laut yang akan menjadi ikon kebanggaan Miri bersedia untuk dipasang di hadapan tebing dan menghadap kuala Sungai Miri serta Laut Cina Selatan.

PROJEK pembinaan Tebingan Miri yang menelan kos RM3.709 juta dan memulakan pembinaannya pada Jun tahun lalu, kini sudah menghampiri peringkat akhir untuk disiapkan.

Tinjauan oleh Utusan Borneo kelmarin mendapati kerja-kerja pembinaan tebingan tersebut kini siap memasang ikon kuda laut setinggi 12 meter yang diperbuat daripada bahan logam tahan karat.

Kuda laut itu yang didirikan di atas platform konkrit di hadapan Tebingan Miri menghadap kuala sungai serta Laut Cina Selatan, akan menjadi salah satu mercu tanda dan ikon bandar raya Miri.   

Keseluruhan ketinggian ikon kuda laut ini dan platformnya yang dibina di dasar muara sungai ini dianggarkan hampir 40 meter dan projek pembinaan Tebingan Miri itu, menggunakan peruntukan khas yang sudah dilulus dan diagihkan bekas ketua menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tahun lalu, demikian jelas Datuk Bandar Miri Adam Yii.

“Kos pembinaan projek ini merupakan sebahagian peruntukan khas RM10 juta yang diberikan bekas ketua menteri (Allahyarham Adenan) bagi tujuan membangunkan tarikan pelancongan dan mengindahkan bandar raya ini,” jelas beliau.  

Tebingan tersebut akan terbentang sejauh 116 meter di sepanjang tebing kuala Sungai Miri dari arah Kampung Wireless menghala ke Hotel Pullman di Jalan Pala dengan lokasi ikonnya terletak di tengah-tengah dan menghadap ke Laut Cina Selatan.  

Pada asalnya perancangan pihak majlis meliputi sebuah jeti yang dibina bersama tebingan ini, bagaimanapun pembinaan jeti tersebut tidak dibenarkan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) atas aspek keselamatan dan mengelak kesesakan.

Ini kerana lokasi jeti berkenaan dirancang adalah di kawasan ‘teluk’ menghadap ke Laut Cina Selatan yang juga merupakan laluan berpusing bagi kapal-kapal dan bot yang luar masuk melalui kuala sungai.

Menurut Adam, pembinaan jeti di situ amat tidak sesuai dan boleh menghalang laluan kapal besar jika bot berlabuh di jeti berkenaan.

Justeru atas nasihat pihak LSS, maka pembinaan jeti di situ terpaksa dilupakan dan diganti dengan arca logam kuda laut yang lebih menarik dan bakal menjadi ikon kebanggaan Miri.

Advertisement