Anda di sini

Pameran DinoTrek2, komitmen Petronas untuk pendidikan sains tidak formal

Advertisement
 Mohamad Morshidi memotong reben untuk menyempurnakan majlis prapelancaran Petrosains PlaySmart Kuching-Pameran DinoTrek2 di Dewan Suarah Kuching, baru-baru ini.
SIMBOLIK: Mohamad Morshidi memotong reben untuk menyempurnakan majlis prapelancaran Petrosains PlaySmart Kuching-Pameran DinoTrek2 di Dewan Suarah Kuching, baru-baru ini.

PETRONAS komited menyumbang kepada pendidikan sains tidak formal kepada kanak-kanak di negeri ini menerusi penganjuran Pameran DinoTrek2 di Dewan Suarah di Kuching yang berlangsung hingga hujung Mac 2019.

Pengerusi Lembaga Petrosains dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah Abdul Rahman berkata, pameran DinoTrek2 itu merupakan antara komponen pusat sains tetap, Petrosains PlaySmart yang kini sedang dibangunkan di lokasi sama.

Beliau berkata, apabila Petrosains PlaySmart itu siap sepenuhnya pada hujung 2019 ia akan menggantikan Pameran DinoTrek2.

“Petrosains DinoTrek2 kini berada di Dewan Suarah Kuching, dibuka kepada orang ramai bermula hari ini (7 Mei) hingga hujung Mac 2019.

“Pameran ini kemudiannya Petrosains PlaySmart merupakan komitmen dan sumbangan Petronas dalam pendidikan tidak formal kepada rakyat Sarawak khasnya kanak-kanak,” katanya.

 Mohamad Morshidi (dua kiri) dan Zahariah (kiri) melihat dinosaur Maiasaurus yang melindungi telurnya yang dipamerkan pada Pameran DinoTrek2 di Dewan Suarah Kuching hingga hujung Mac 2019.
MENARIK: Mohamad Morshidi (dua kiri) dan Zahariah (kiri) melihat dinosaur Maiasaurus yang melindungi telurnya yang dipamerkan pada Pameran DinoTrek2 di Dewan Suarah Kuching hingga hujung Mac 2019.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran Petrosains PlaySmart Kuching-Pameran DinoTrek2 di Dewan Suarah Kuching di Kuching, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Mohamad Morshidi berkata, pameran tersebut merupakan kerjasama pintar antara kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Petronas dalam menyokong agenda sosial negeri untuk membangunkan masyarakat yang berpengetahuan serta berpengalaman sosial.

“Kolaboratif ini perlu dilaksanakan secara berterusan untuk menggalakkan rakyat belajar serta mencetus minat terhadap bidang sains dan teknologi.

“Kami berharap dapat melibatkan lebih ramai rakyat terutamanya generasi muda yang berminat serta terlibat dalam bidang sains dan teknologi, akhirnya mendorong Sarawak membangun dengan lebih pesat,” katanya.

Pameran DinoTrek2 memberi peluang kepada pengunjung khasnya kanak-kanak melihat sendiri dinosaur paling ganas Tyrannosaurus rex atau lebih popular dikenali T-rex dan Spinosaurus.

Petrosains DinoTrek merupakan pameran dinosaur bergerak yang diadakan buat pertama kalinya di KLCC pada 2003 dan telah menjelajah banyak negeri di Malaysia termasuk Sabah, Kedah, Johor, Terengganu,  Pahang dan Pulau Pinang.

Kali ini terdapat sembilan dinosaur animatronik, 12 pameran interaktif dan menawarkan aktiviti menarik secara langsung. Antara pameran utama ialah dinosaur Maiasaurus yang melindungi telurnya, Protoceratops mempertahankan anak kecilnya dari Velociraptor dan pendirian dinosaur yang paling ganas, Tyrannosaurus Rex.

Pameran itu dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

  • oleh
  • Advertisement