Anda di sini

4,600 ahli STU diminta hadir mesyuarat

Advertisement
 Fu (dua kanan) menyampaikan insentif pendidikan STU kepada para pelajar semasa Mesyuarat Agung Tahunan STU Bahagian Kuching Kali Ke-15 dan majlis penyampaian insentif pendidikan di sebuah hotel terkemuka di Kuching, baru-baru ini. Turut kelihatan, Abdul Aziz (kiri).
INSENTIF: Fu (dua kanan) menyampaikan insentif pendidikan STU kepada para pelajar semasa Mesyuarat Agung Tahunan STU Bahagian Kuching Kali Ke-15 dan majlis penyampaian insentif pendidikan di sebuah hotel terkemuka di Kuching, baru-baru ini. Turut kelihatan, Abdul Aziz (kiri).

SERAMAI 4,600 ahli Kesatuan Guru Sarawak (STU) yang berdaftar di negeri ini diminta supaya menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan itu yang diadakan setiap tahun.

Tinbalan Presiden STU Fu Yung Yung berkata, ini penting kerana ia merupakan platform memudahkan ahli-ahli berkenaan mernyuarakan pandangan dan cadangan dalam usaha memperkasakan lagi profesion perguruan mereka.

“Setakat ini, kita agak terkilan dengan jumlah kehadiran yang kurang memberangsangkan ahli-ahli STU pada mesyuarat itu yang diadakan sebelum ini. Contohnya, tidak sampai 10 peratus daripada 4,600 ahli STU yang berdaftar hadir pada mesyuarat hari ini.

“Mungkin mereka beranggapan, mesyuarat ini membosankan tetapi sebenarnya ia memberi banyak manfaat kepada mereka dari segi maklumat terkini dan pada masa sama, dapat mengenali ahli jawatankuasa dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Mesyuarat Agung Tahunan STU Bahagian Kuching Kali Ke-15 dan majlis penyampaian insentif pendidikan di sebuah hotel terkemuka di Kuching, baru-baru ini.

Fu dalam pada itu turut menyarankan warga pendidik khasnya ahli STU agar mengisi Borang Permohonan Kelulusan Keluar Negara terlebih dahulu sebelum mereka ke luar negara.

Tindakan mengisi borang berkenaan katanya, sangat penting kerana mendapati ramai guru yang pergi ke luar negara sama ada untuk bercuti atau urusan lain tidak mengisi borang tersebut.

“Dengan mengisi borang ini, ia sebenarnya satu jaminan keselamatan kepada kita apabila berada di luar negara. Jangan khuatir jika jabatan tahu anda meninggalkan negara.

“Sebenarnya apabila anda memaklumkan jabatan bahawa anda meninggalkan negara dari satu tempoh, jika terjadi sesuatu perkara luar jangkaan dan anda tidak dapat kembali dalam tempoh yang dinyatakan, anda akan diberi cuti,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya jabatan tidak diberitahu tentang perkara itu, maka adalah sukar untuk mereka memberikan bantuan jika sesuatu masalah menimpa guru berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi STU Bahagian Kuching Abdul Aziz Abdul Wahab dalam ucapannya berkata, seramai 124 pelajar menerima insentif pendidikan STU dan sijil penghargaan  kecemerlangan tahun ini.

Katanya, mereka terdiri daripada 17 pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017, 52 pelajar Pentaksiran Tingkatan Tiga 2017, 50 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dan lima pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2017.

“Majlis penyampaian insentif pendidikan STU ini adalah untuk menghargai usaha rakan-rakan guru kerana berjaya mendidik anak mereka sehingga cemerlang,” katanya.

Advertisement