Anda di sini

Pendakwa raya kanan letak jawatan selepas dituduh serang wanita

Advertisement
 Gambar fail 12 Februari menunjukkan Schneiderman bercakap pada sidang media untuk membincangkan tuntutan saman hak sivil yang difailkan terhadap Syarikat Weinstein di New York. — Gambar Reuters
LETAK JAWATAN: Gambar fail 12 Februari menunjukkan Schneiderman bercakap pada sidang media untuk membincangkan tuntutan saman hak sivil yang difailkan terhadap Syarikat Weinstein di New York. — Gambar Reuters

NEW YORK: Pendakwa raya kanan bandar raya New York dan juara awam bagi pergerakan #MeToo meletakkan jawatan kelmarin, hanya beberapa jam selepas dituduh menyerang secara fizikal empat wanita oleh The New Yorker.

Ia adalah satu kejatuhan kuasa yang mengejut bagi ketua pegawai penguatkuasaan undang-undang di negara ini dan seorang lawan Donald Trump yang pejabatnya telah melancarkan bebe-rapa cabaran perundangan terhadap pentadbiran Republikan.

“Dalam tempoh beberapa jam lalu, dakwaan serius, yang saya pertikai dengan setegas-tegasnya, telah dilakukan terhadap saya,” kata Eric Schneiderman.

“Meskipun dakwaan ini tidak berkaitan dengan tindakan profesional saya atau operasi pejabat, namun ia akan menghalang saya mengetuai kerja-kerja di pejabat pada waktu kritikal ini. Dengan itu saya meletak jawatan, berkuatkuasa serta-merta pada 8 Mei.”

Sebelum itu, beliau mengemukakan satu ke-nyataan menafikan beliau telah menyerang sesiapa dan bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam hubungan seks bukan suka sama suka.

Dua wanita tersebut yang bercakap dengan pihak majalah dalam rekod, mendakwa Schneiderman telah memukul mereka beberapa kali, selalunya selepas minum, kerap kali di atas katil dan tidak pernah dengan kebenaran mereka.

Kedua-duanya men-dakwa mereka mendapatkan rawatan perubatan selepas ditampar dengan sangat kuat pada bahagian telinga dan muka, dan turut dicekik, lapor majalah itu.

The New Yorker berkata tiada seorang pun daripada wanita itu menggambarkan keganasan itu sebagai perbuatan suka sama suka.

Pada Februari, Schneiderman menyaman The Weinstein Company kerana gagal melindungi pekerja daripada salah laku seks oleh taikun Harvey Weinstein di sebalik beberapa aduan daripada pekerja.

Beliau juga telah diarahkan oleh Gabenor New York Andrew Cuomo untuk “meneliti” satu keputusan pada 2015 oleh peguam daerah Manhattan untuk tidak mendakwa  Weinstein atas tuduhan melibatkan serangan. — AFP

Advertisement