Anda di sini

82 murid cemerlang UPSR terima insentif

Advertisement

KOTA MARUDU: Seramai 82 murid yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya 3A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima insentif wang tunai RM100, di sini pada Isnin.

Insentif yang diberikan melalui Pejabat Parlimen Kota Marudu itu adalah sebahagian daripada janji yang dibuat oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada lima tahun lalu.

MAXIMUS (dua kiri) menyampaikan insentif kepada salah seorang penerima, Nurizatulakma Zakariah dari SK Ongkilan yang memperoleh 6A dalam UPSR, turut kelihatan Pembantu Menteri pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting (kiri).
MAXIMUS (dua kiri) menyampaikan insentif kepada salah seorang penerima, Nurizatulakma Zakariah dari SK Ongkilan yang memperoleh 6A dalam UPSR, turut kelihatan Pembantu Menteri pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting (kiri).

Maximus berkata pada awalnya, insentif itu diberikan kepada murid yang memperoleh 1A dalam UPSR. Bagaimanapun, bermula pada tahun lalu, mereka memutuskan untuk memperketatkan syarat dengan memberi insentif kepada murid yang memperoleh keputusan 3A dan ke atas dalam UPSR.

Menurutnya, pemberian insentif sebegitu dilihat berjaya menyuntik semangat kepada pelajar luar bandar untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Daripada jumlah itu, sembilan murid memperoleh 6A, 11 memperoleh 5A manakala 21 mendapat 4A dan selebihnya 41 orang memperoleh 3A dalam peperiksaan UPSR.

Menurut Maximus, sepanjang tahun ini sejumlah RM31,600 disumbangkan menerusi pemberian insentif berkenaan.

“Ini satu perkembangan yang sihat dan saya percaya kita berjaya mencapai objektif untuk menggalakkan lebih ramai murid di sekolah luar bandar untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif UPSR 2017, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoi Ming, di sini pada Isnin.
 
Maximus juga menyarankan ibu bapa supaya bekerjasama erat dengan guru anak-anak mereka supaya boleh sama-sama membimbing dan mendorong anak mereka supaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Jika dilihat ada antara pelajar cemerlang pada tahun lalu berasal dari sekolah yang jauh di pedalaman. Mereka terpaksa berjalan selama beberapa jam sebelum sampai ke sekolah. Namun, mereka masih mampu memperoleh keputusan yang baik dalam UPSR,” katanya.

Maximus juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyalahgunakan insentif yang diberikan kepada anak-anak mereka. Pemberian insentif itu adalah untuk membeli keperluan persekolahan.

MAXIMUS bersama Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting bergambar bersama murid yang menerima insentif berkenaan.
MAXIMUS bersama Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting bergambar bersama murid yang menerima insentif berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Daerah Kota Marudu Datuk Akdan Datu Basran berkata, keputusan peperiksaan UPSR di daerah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.40 peratus, iaitu meningkat dari 49.93 peratus lulus pada 2016 kepada 51.70 peratus pada tahun lalu.

“Malah pada tahun lalu, dua sekolah mencatatkan keputusan 100 peratus lulus dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan SMK Kota Marudu, dengan dua pelajar memperoleh keputusan 4.0.

“Daerah ini juga berada di tangga teratas bagi kawasan Utara Sabah dalam bidang sukan dan akademik apabila berada di tempat keempat dari 24 daerah yang bertanding dalam acara sukan,” katanya.

Advertisement