Anda di sini

PDRM, Esscom padu tenaga awasi perjalanan PRU14

Advertisement

TAWAU: Kira-kira 12,000 elemen PDRM digerakkan untuk mengawasi dan memantau proses perjalanan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sabah, malah kesiapsiagaan di semua sudut pantai timur Sabah turut ditingkatkan.

Usaha itu juga termasuk menangani pergerakan masuk ‘luar biasa’ dari negara jiran dan pencegahan awal jika ada elemen kumpulan culik serta tebusan (KFR) cuba menyusup masuk ke negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun berkata usaha memastikan PRU berjalan lancar di pantai timur diadakan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Kita sudahpun menempatkan pasukan-pasukan Cantas kita seperti Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dan Unit Tempur Ringan (LSF) PDRM di seluruh Sabah.

“Termasuklah di pantai timur Sabah, meliputi Lahad Datu, Tawau, Sandakan dan Semporna, namun kita harap tidak ada perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

FUZI (dua kanan) menjawab soalan pemberita, dan turut ditemani bersama (dari kiri) Fadil, Ramli dan Mohmad.
FUZI (dua kanan) menjawab soalan pemberita, dan turut ditemani bersama (dari kiri) Fadil, Ramli dan Mohmad.

Jawapan itu diberikan sebagai maklum-balas terhadap kebimbangan berikutan ada di antara daerah terbabit yang dijangka berlaku persaingan sengit parti-parti bertanding.

Fuzi diajukan soalan berkaitan selepas merasmikan Majlis ‘Ke Arah Tawau Sejahtera’ Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, Program Pencegahan Jenayah, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus.

Mengulas lanjut, jika ada perkara luar biasa berlaku, PDRM akan buat penilaian awal pasca PRU untuk memastikan proses pilihan raya tidak diganggu-gugat anasir ‘tidak diingini’.

Beliau berkata PDRM memberikan perhatian kepada elemen-elemen dari negara luar, termasuk potensi berlakunya pergerakan luar biasa dari Filipina Selatan sebelum PRU.

“Hal itu memang sudah diambil-kira, di pantai timur Sabah ini penekanan khusus diberikan kepada langkah-langkah proaktif yang berterusan sehinggalah PRU selesai.

“Kita juga sudah bersiap sedia dan akan mengambil tindakan tegas jika ada elemen kumpulan culik dan tebusan (dikesan) menyusup masuk ke negara kita.

Menurutnya, PDRM sudah meningkatkan operasinya dan tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu serta akan menjejak dan memburu mereka, jika elemen luar jangka itu timbul.

  • oleh
  • Advertisement