Anda di sini

Pandelela terima insentif RM500,000 dari kerajaan negeri

Advertisement
Abang Johari menyampaikan cek kepada Pandelela sambil disaksikan (dari kanan) Hartini, Pamg, Abdul Karim, Juma'ani dan Snowdan (kiri).

KUCHING: Kerajaan negeri menunaikan janji kepada Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong Pamg dengan menghadiahkan insentif berjumlah RM500,000 kepada ikon sukan itu.

Majlis penyampaian insentif tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis perasmian Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Abang Johari berkata, pemberian insentif berkenaan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan Pandelela dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau turut menyifatkan kejayaan Pandelela sebagai luar biasa kerana mampu mencipta nama di persada dunia walaupun berlatih tanpa fasiliti yang lengkap.

“Kita tahu Pandelela begitu fokus dengan latihan dan berjaya mendapat kejayaan luar biasa. Ketabahan beliau dan dorongan ahli keluarganya juga membantu beliau menjadi atlet antarabangsa.

“Ini menjadi satu kebangsaan kepada kita dan inspirasi kepada atlet kita yang lain agar dapat memainkan peranan dalam sukan masing-masing,” katanya.

Beliau menjelaskan pertukaran nama pusat akuatik berkenaan kepada Pandelela diputuskan oleh mantan Ketua Menteri Pehin Sri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan kabinet selepas kejayaan atlet itu pada Sukan Olimpik 2016.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Sabariah Putit, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee dan kedua ibu bapa Pandelela, Pamg Joheng dan Hartini Lamim.
 

  • oleh
  • Advertisement