Anda di sini

Ketua Bahagian Warisan Libaran maut dirempuh kenderaan

Advertisement

Ramli nasihat orang ramai jangan buat spekulasi
 

SANDAKAN: Wakil calon Parti Warisan DUN Gum-Gum maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta ketika sedang minum di sebuah restoran di Batu 6, pagi Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Aris Malayu, 56, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata pihaknya telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.30 pagi.

MAYAT mangsa dalam kemalangan maut itu.
MAYAT mangsa dalam kemalangan maut itu.

Dalam kejadian itu katanya, mangsa sedang minum bersama rakannya di restoran berkenaan.

Sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita hendak parkir di hadapan restoran itu tetapi hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang sedang duduk minum berhadapan kereta terbabit.

Akibat kejadian itu, beliau berkata mangsa yang merupakan ketua bahagian Parti Warisan Parlimen Libaran telah terhimpit di antara sebatang tiang dan kereta itu.

Beliau berkata pihak polis yang dihubungi telah menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Polis merekodkan kenyataan saksi-saksi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu kereta (wanita) berumur 61 tahun terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya pada sidang media di sini, petang Selasa.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar oleh pihak polis ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat.

Ramli berkata laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan patah tulang rusuk sebelah kiri yang terkena jantung.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kemalangan yang berlaku di Bandar Utama berkenaan.

"Tindakan akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran pada PRU14 ini," katanya.

Mengenai PRU14, Ramli memberitahu pihak Polis Kontinjen Sabah sudah siap sedia 100 peratus menghadapi proses pembuangan dan pengiraan undi.

"Sejumlah 7,212 pegawai dan anggota polis bertugas di Sabah bersedia membantu proses PRU berlangsung dengan lancar termasuk di pantai timur Sabah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement