Anda di sini

Inanam bakal berstatus bandaraya pada masa hadapan

Advertisement

KOTA KINABALU: Pekan Inanam bakal mempunyai status bandaraya pada masa hadapan dengan pembangunan pesat yang akan dilaksanakan di kawasan itu.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha-usaha itu boleh dicapai dan ia dimulakan dengan pembinaan Dewan Masyarakat Inanam serba moden yang baharu.

"Dewan ini saya tidak mahu sekadar dewan biasa sahaja, saya ingin dewan ini  menjadi ikon atau mercu tanda kepada masyarakat di sini.

"Saya mahu orang tempatan mahupun pelancong datang ke Inanam untuk mengambil swafoto berlatarkan dewan ikonik ini di masa hadapan," katanya ketika pada Majlis Pecah Tanah Dewan Masyarakat Inanam, di sini pada Isnin.

RAHMAN (dua kanan), Irwan (tiga kiri), Jainab (kiri), Johnny (tiga kanan) dan Yeo (dua kiri) menunjukkan rekaan Dewan Masyarakat Inanam.
RAHMAN (dua kanan), Irwan (tiga kiri), Jainab (kiri), Johnny (tiga kanan) dan Yeo (dua kiri) menunjukkan rekaan Dewan Masyarakat Inanam.

Beliau berkata, kos pembinaan dewan itu berjumlah RM10 juta keseluruhannya berbanding RM2 juta yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, penantian masyarakat Inanam untuk mempunyai sebuah dewan selama 20 tahun akhirnya tercapai dan pembinaan ini harus berterima kasih kepada Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman yang  membenarkan lokasi ini digunakan sebagai tapak pembinaan itu.

"Masyarakat Tiong Hua di bandar ini tidak mempunyai permintaan yang besar, mereka hanya mahukan sistem perparitan dibersihkan agar tidak menjejaskan perniagaan mereka.

"Oleh itu, sejumlah RM1.2juta diluluskan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk kerja-kerja pembersihan parit sepanjang 5.5 kilometer di Inanam," katanya.

Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1juta membina gerai tradisi di sini bagi memberi keselesaan kepada para penjaja di Pasar Inanam.

Katanya, DBKK dalam masa terdekat akan mengumumkan sistem lalu lintas  yang lebih efisyen di Inanam bagi mengurangkan kesesakan jalan.

"Dalam masa terdekat DBKK turut akan membuka Pusat Khidmat DBKK di Pekan Manggatal bagi menyenangkan lagi penduduk di sini melaksanakan urusan tanpa perlu ke Bandaraya.

"Visi menjadikan Inanam, Manggatal dan Inanam sebagai satu bandaraya di masa hadapan mampu dicapai dengan kesinambungan pembangunan yang bakal diteruskan di sini," katanya.

Menurutnya lagi, kesemua peruntukan untuk pembangunan di sini sudah diumumkan sebelum kempen pilihan raya dimulakan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaraan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Mayor DBKK Datuk Yeo Boon Hai, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam Datuk Johnny Goh, calon BN DUN Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid serta tetamu kehormat yang lain

  • oleh
  • Advertisement