KOTA KINABALU: Sebanyak 2,141 saluran mengundi di Sabah akan menjadi tumpuan 1,093,081 pengundi berdaftar mulai 8 pagi hingga 5 petang pada hari pengundian esok bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), manakala 26,042 pengundi di Labuan akan mengundi di 51 saluran mengundi.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Sahia berkata jumlah pengundi itu tidak termasuk pengundi awal dan pengundi pos serta pengundi tidak hadir pada hari pengundian.
"Persediaan untuk hari pengundian esok sedang berjalan lancar. Kami menggunakan khidmat helikopter bagi melancarkan tugas di 10 kawasan Parlimen di Sabah dan khidmat bot bagi 58 pusat mengundi di kawasan pedalaman atau terpencil.

"Kami juga menjangkakan dua pusat mengundi akan tutup awal iaitu pukul 11 pagi berikutan jumlah pengundi yang kecil iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tiang di N31 Paginatan dan Balai Raya Kampung
Mangkasulap bagi N39 Sugut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Rohiman, seramai 19,792 petugas SPR ditempatkan di Sabah dan 458 di Labuan melibatkan sejumlah 810 pusat mengundi bagi menguruskan proses pilihan raya meliputi 25 kerusi parlimen di Sabah dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta satu kerusi parlimen di Labuan.
Pada PRU14 kali ini, Sabah mempunyai 1,117,337 pengundi berdaftar, manakala 28,356 pengundi berdaftar di Labuan.-Bernama.