Anda di sini

114.78 hektar dikeluarkan untuk 493 penduduk di Kg Sri Aman Bumiputera

Advertisement

LAHAD DATU: Buat pertama kalinya, kerajaan melalui Jabatan Perhutanan Negeri mengeluarkan Sijil Permit Pendudukan (OP) ke atas tanah seluas 114.78 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama Tanjung Tumanong Hallu bagi keperluan perkampungan Sri Aman Bumiputera, Batu 15 Jalan Silam, di sini. 

 
 
Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Sabah Fedelis Edwin berkata sebanyak 198 sijil OP diberikan kepada 493 ketua keluarga termasuklah tapak untuk membina rumah dan keperluan tertentu penduduk kampung itu.
 
"Pemberian OP ini diharap dapat mensejahterakan penduduk kampung terutama menjadikannya sebuah kampung di dalam hutan simpan yang mempunyai kemudahan lengkap seterusnya berdaya saing untuk mencapai status kampung sejahtera," katanya. 
 
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Penyerahan Sijil Kelulusan OP Kepada Penduduk Perkampungan Sri Aman Bumiputera Batu 15 Silam Hutan Simpan Ulu Segama Tanjung Tumanong Hallu, di sini pada Isnin.
 
Pada perkembangan yang sama, Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal berkata rakyat perlu bersatu padu dan menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah terutama berkaitan dengan pemilikan tanah.
 
Menurutnya, sebagai pemimpin dia sentiasa memperjuangkan nasib rakyat dan bersedia berkhidmat demi masa depan agama, nusa dan bangsa. 
 
"Sekiranya diberi kepercayaan, saya ingin meneruskan khidmat saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu. 
 
"Manifesto saya untuk rakyat di sini tentulah akan membantu kampung ini dilengkapi kemudahan yang diperlukan," katanya. 
 
Beliau mengingatkan rakyat agar memberi mandat kepada pemimpin yang boleh membantu dan memperjuangkan rakyat. 
SHARIF menerima sijil OP daripada Fedelis, diperhatikan Yusof.
SHARIF menerima sijil OP daripada Fedelis, diperhatikan Yusof.
 
"Janganlah terpedaya dengan pemimpin bermusim yang datang hanya pada musimnya, menabur janji manis semata-mata mahukan kuasa," katanya.
 
Turut hadir, Pegawai Perhutanan Daerah Lahad Datu Jurimin Ebin dan Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Perkampungan Sri Aman Bumiputera Sharif Musa Sharif Mabul.
  • oleh
  • Advertisement