Anda di sini

Lebih 3,000 ahli Warisan keluar parti

Advertisement
SANDAKAN: Lebih 3,000 ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) dari 60 cawangan di Batu Sapi di sini mengumumkan keluar parti itu dan menyokong calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong Datu Faisal Datu Bachtiyal.
 
Salah seorang ketua cawangan, Abdul Rahman Hanchus berkata mereka mengambil keputusan untuk keluar dari Warisan selepas hilang kepercayaan terhadap pemilihan calon bagi kawasan itu.
 
 
"Pucuk pimpinan Warisan telah memilih calon yang bukan kami perjuangkan selama ini. Malah calon itu juga tidak menghargai kami dan tidak mempunyai semangat untuk membantu rakyat..
 
Kami kecewa dan mengambil keputusan untuk menyokong Faisal.
 
"Kami pilih Faisal sebab kami percaya beliau boleh membantu rakyat. Beliau juga seorang 'bangsata' (singkatan Bangsa Kita bagi suku Bajau Suluk). Beliau dikenali sebagai seorang usahawan yang berjaya di Sekong dan telah banyak membantu rakyat setempat.
 
"Kami percaya dengan perjuangannya dan sebagai anak jati yang membesar di Batu Sapi, Faisal akan sentiasa ada untuk membantu kami," katanya selepas menyerahkan surat sokongan daripada 60 cawangan kepada Faisal pada Sabtu.
 
Sementara itu, Faisal dalam maklumbalasnya memberitahu mereka (ahli Warisan) berhak untuk keluar parti dan memilih untuk menyokong sesiapa sahaja yang mereka mahu.
 
"Mereka tidak dimiliki oleh Warisan. Mereka juga tidak hidup demi Warisan. Oleh itu, mereka bebas mengambil sebarang keputusan.
 
"Saya berterima kasih kepada mereka kerana telah menyatakan sokongan terhadap saya. Itu adalah kebebasan bagi mereka," jelasnya.
 
Faisal, 43, seorang muka baharu dalam dunia politik yang bertanding dengan logo kapal terbang akan ditentang oleh lima lagi calon bagi DUN Sekong.
FAISAL (tiga kiri) menerima surat sokongan daripada beberapa bekas ketua cawangan Warisan di Batu Sapi.
FAISAL (tiga kiri) menerima surat sokongan daripada beberapa bekas ketua cawangan Warisan di Batu Sapi.
 
Calon lain termasuk Sahar Abd Majid dari PAS, Arifin Asgali (Warisan), Abd Rashid Abd Rahman (Star), Alias Abdul Rahman Benjamin (Parti Kebangsaan Sabah) serta penyandangnya Datuk Samsudin Yahya dari Barisan Nasional.
 
Terbaharu, Faisal telah mengumumkan akan menyalurkan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 bagi dana projek pembangunan di Kampung Air di sini, tidak kira sama ada beliau menang atau kalah pada PRU14.
  • oleh
  • Advertisement