Anda di sini

Jovinia juara Sugandoi Kaamatan Beluran

Advertisement

Wakili Beluran ke Pertandingan Sugandoi peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu


JOVINIA Umjin dari Kampung Jaya Bakti, Beluran muncul juara Pertandingan Sugandoi sempena Pesta Kaamatan peringkat daerah Beluran 2018 yang berlangsung di Kelab Belia dan Sukan Beluran, malam Sabtu.

Lagu ‘Unduk Ngadau’ nyanyian asal Lenny James dan ‘Pitongkizadan’ (Cathy Woritus) membawa tuah kepada Jovinia, 36, yang turut dipilih menerima anugerah vokal terbaik dan pakaian terbaik.

JOVINIA menampilkan vokal yang mantap untuk dijulang selaku juara Sugandoi  Kaamatan Beluran 2018.
JOVINIA menampilkan vokal yang mantap untuk dijulang selaku juara Sugandoi Kaamatan Beluran 2018.


Naib johan disandang oleh Afdin Abdul Gani @ Ejul, 40, dari Kampung Air Beluran yang menyanyikan lagu ‘Boros Nu Di Tohuri Noh’ (S. Welly) dan ‘Oulau’ (Ridah Malanjang).   

Tempat ketiga dimenangi  Fazilah Etar, 22, dari Taman Sungai Labuk (TSL) Beluran dengan lagu ‘Opion Ku Nopo’ (Cathy Woritus) dan ‘Nosindualan’ (Phauline Lenn).

JANAI Sikana menyampaikan hadiah juara Pertandingan Sugandoi Kaamatan     Beluran 2018 kepada Jovinia Umjin bagi mewakili Pegawai Daerah Beluran.
JANAI Sikana menyampaikan hadiah juara Pertandingan Sugandoi Kaamatan Beluran 2018 kepada Jovinia Umjin bagi mewakili Pegawai Daerah Beluran.


Anugerah persembahan terbaik turut dinobatkan kepada Javebriell Muli, manakala peserta paling popular dimenangi oleh Fazilah Etar.
Dengan kemenangan itu, Jovinia Umjin berjaya meriah hadiah wang tunai RM1,500, piala dan sijil, sekali gus mewakili daerah Beluran ke Pertandingan Sugandoi peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan Penampang, bermula 22  - 26 Mei depan.

 AFDIN Abd Gani (kanan) menerima hadiah naib johan Sugandoi Kamaatan Beluran disampaikan oleh Fredoline Rahiman.
AFDIN Abd Gani (kanan) menerima hadiah naib johan Sugandoi Kamaatan Beluran disampaikan oleh Fredoline Rahiman.

Naib johan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan ketiga RM500, di samping piala dan sijil penyertaan, manakala tujuh finalis yang lain masing-masing menerima saguhati RM100 dan sijil penyertaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sugandoi Pesta Kaamatan 2018 daerah Beluran, Fredoline Rahiman berkata seramai 10 peserta akhir berentap pada pertandingan itu yang mendapat sambutan dan sokongan membanggakan dengan kehadiran ramai penonton untuk menyaksikan dan memeriahkan pertandingan akhir sugandoi itu.

FAZILAH Etar menerima hadiah tempat ketiga Sugandoi Kaamatan Beluran  disampaikan oleh Roland H. Lindan.
FAZILAH Etar menerima hadiah tempat ketiga Sugandoi Kaamatan Beluran disampaikan oleh Roland H. Lindan.

Katanya, 10 finalis tersebut merupakan peserta yang dipilih daripada seramai 27 peserta awal pada saringan yang diadakan pada 28 April lalu.

Katanya, selain memilih wakil daerah Beluran ke peringkat negeri, pertandingan itu juga bertujuan mencungkil bakat dan potensi para peminat seni suara khasnya di daerah Beluran untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan daerah Beluran diadili oleh Fredoline Rahiman  (Ketua Pengadil), Bernard Laimen Michael dan Rosdee Mohd Yusof @ Diddy dari RTM/ Sandakan FM.

Wakil Pegawai Daerah Beluran, Janai Sikana menyempurnakan majlis perasmian dan penyampaian hadiah pertandingan itu.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penganjuran pertandingan itu merupakan cabaran kepada Jawatankuasa Kecil Pertandingan Sugandoi peringkat daerah Beluran 2018 kerana kekangan kewangan yang dihadapi oleh Jawatankuasa Induk Penganjur Pesta Kaamatan.   

Katanya, cabaran kedua adalah mendapatkan tempat yang sesuai untuk mengadakan pertandingan awal dan akhir ekoran Dewan Serbaguna Beluran digunakan sepenuhnya bagi tujuan rasmi yang lain.

PESERTA akhir Pertandingan Sugandoi Kaamatan Beluran 2018.
PESERTA akhir Pertandingan Sugandoi Kaamatan Beluran 2018.

Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua AJK Kecil Pertandingan Sugandoi Kaamatan peringkat daerah Beluran 2018 serta semua peserta  dan juga para juri yang telah dilantik menjayakan pertandingan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pegawai Belia dan Sukan (N) Beluran, Roland H. Lindan.
  Untuk rekod, juara Sugandoi Pesta Kaamatan Beluran tahun lalu (2017) ialah Sufiani James dari Kampung Keramat Beluran, manakala seorang pendidik, Lydrielyn Koh, 26, dari Kampung Kuala Sapi Beluran menjuarainya pada 2016.

  • oleh
  • Advertisement