Anda di sini

BN Penampang perlukan mandat rakyat terus majukan daerah

Advertisement
DARI kanan; Ceasar, Donald, Francis, Musa, Najib dan Pairin ketika di majlis itu.
DARI kanan; Ceasar, Donald, Francis, Musa, Najib dan Pairin ketika di majlis itu.

PENAMPANG: Barisan Nasional (BN) Penampang memerlukan mandat rakyat bagi memastikan pembangunan di daerah itu terus berkembang maju di masa hadapan.

Calon BN Parlimen Penampang Ceasar Mandela Malakun berkata, daerah itu masih memerlukan lebih banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

"Masih terdapat banyak kampung di sini tidak mempunyai jalan sewajarnya, air pun tidak sampai di sesetengah kampung.

 

"Banjir masih berlaku dengan kerap dalam sebulan selain pembangunan untuk pertanian turut kurang...di Babagon contohnya masih tidak mempunyai talian komunikasi yang sepatutnya," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Barisan Nasional (BN) Bersama Rakyat, di sini pada malam Ahad.

Beliau turut berjanji sekiranya diberikan mandat di Penampang segala kekurangan itu akan diperbaiki.

Katanya, ekonomi Penampang juga akan ditingkatkan untuk kesejahteraan masyarakat di sini.

Sementara itu, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, jangan sesekali percaya kepada kata-kata pembangkang yang mengatakan negara tidak stabil.

Katanya, peruntukan untuk hospital, sekolah, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Perumahan Rakyat (PPR) serta program lain memerlukan perbelanjaan berpuluhan bilion setahun.

"Macam mana negara kita bankrup sekiranya kerajaan masih boleh mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.

"Sosial kita juga stabil, ambil contoh Sabah, kita mempunyai banyak parti politik tetapi masih dalam keadaan aman dan tidak wujud sebarang kekacauan," katanya.

Menurutnya, komponen BN di Penampang mempunyai kerjasama yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun ini dengan satu tujuan untuk merampas kembali semua kerusi di sini.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan parti yang tidak mempunyai pendirian dan rakannya sering berubah.

"Kita dalam BN mempunyai Perdana Menteri yang bantu rakyat, saya percaya 10 Mei ini kita akan kembali memerintah di Sabah dan Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Manakala, calon BN DUN Kapayan Datuk Francis Goh berkata, manifesto BN pusat dan negeri membuktikan komitmen kerajaan BN untuk kepentingan rakyat Sabah.

Katanya, rakyat mampu melihat bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperjuangkan dalam kedua manifesto itu.

"Saya mengingatkan rakyat di sini agar pilih pemimpin berjiwa rakyat yang mempertahankan hak-hak orang Sabah," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta pemimpin BN yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement