Anda di sini

Bicara kes Jabatan Air: Dua pegawai penyiasat SPRM sahkan terima aduan

Advertisement
KOTA KINABALU: Dua pegawai penyiasat memberitahu, dalam kenyataan saksi mereka menyatakan mengenai aduan terhadap pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan seorang jurutera air, ada menerima suapan dalam bentuk pemberian kenderaan dan wang tunai. 
 
Chin Chen Huat, 51, dan Glenn Lores, 34, yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas (BSK) di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyatakan demikian di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
 
Saksi pertama Chin memberitahu, beliau mengesahkan menulis borang aduan terhadap bekas pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 55, yang menerima suapan pada sekitar Oktober 2013.
 
Beliau berkata demikian, ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwaraya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahim, berhubung dengan keterangan saksinya.
 
Menjawab soalan balas peguam Marcell Jude mewakili Ag. Mohd Tahir dan Fauziah Piut, 52, beliau yang mempunyai kelulusan diploma perakaunan berkata, suapan terbabit berupa sebuah kenderaan daripada pihak Syarikat Lahad Datu Water Supply Sdn Bhd, iaitu operator empangan Timbangan dan Sepagaya.
 
Menurutnya, aduan berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM, bagaimanapun maklumat awal aduan yang diperolehi adalah rahsia. 
 
Sementara itu, Glenn saksi kedua menyatakan merujuk kepada borang aduan, maklumat diterima pada 24 April 2016, jurutera air JANS bahagian Kota Kinabalu iaitu Teo Chee Kong, 52, menerima suapan melalui Amanah Saham Bumiputera 2 sebanyak RM200,000.
 
Wang terbabit daripada pengarah Syarikat Yuda Water Sdn Bhd Teo Chui Hung, merupakan operator empangan Telibong JANS.
 
Menjawab soalan balas peguam Nurul Rafeeqa yang membantu Marcell, beliau memberitahu antara saksi yang dipanggil adalah kakitangan JANS, saksi-saksi awam dan pegawai bank.
 
Bagaimanapun Glenn menyatakan, walaupun dirinya terlibat dalam melakukan sitaan, namun hanya terhad kepada sitaan wang tunai terhadap Lim Lam Beng, 63. 
 
“Berkenaan denagn sitaan harta Ag Mohd Tahir dan Fauziah Piut, saya tidak melakukan apa-apa sitaan terhadap penama-penama ini,” katanya.
 
Ketika prosiding sedang berlangsung, suasana mahkamah berubah apabila timbulnya isu antara pihak pembelaan dan pendakwaan, apabila peguam Roland Cheng mewakili Teo berulang kali menyatakan ingin melakukan soalan balas pada akhirnya nanti.
 
Menurutnya, hal ini kerana, pihaknya tidak mengetahui sama ada saksi terbabit releven dengan kes anak guam mereka.
 
Bagaimanapun, Abu Bakar memerintahkan sekiranya pihak Roland ingin membuat soalan balas pada masa akan datang, beliau perlu membuat permohonan kepada mahkamah.
 
Prosiding mahkamah terpaksa ditangguhkan tiga kali, ekoran daripada isu-isu yang timbul dan sebahagian pihak (pembelaan) tidak mempunyai dokumen, yang mana dikemukakan sebagai bukti.
 
Dalam pada itu, 54 saksi daripada pihak pendakwaan dan 15 saksi pertama akan dipanggil memberikan keterangan, pada peringkat awal perbicaraan.
 
Ag Mohd Tahir bersama isterinya Fauziah, Lim dan Teo didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM61.48 juta. 
 
Teo berhadapan 78 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, dan 68 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
 
Manakala Ag.Mohd Tahir dan isterinya didakwa atas dua pertuduhan memiliki barang kemas dan perhiasan mewah, yang mana didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
 
Selain itu, Ag Mohd Tahir juga didakwa atas 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) akta sama, kerana memiliki harta harta berjumlah RM56.9 juta dalam bentuk wang dan simpanan, serta beberapa kereta mewah.
 
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) akta sama, atas pertuduhan terlibat dalam transaksi haram melibatkan RM14,000 yang diserahkan kepada Cristine Fiona M Ponsoi.
 
Sementara itu, Lim didakwa atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) akta sama, yang didapati dilakukan pada 13 Oktober hingga 8 November 2016, di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan UMS dan di sebuah rumah Jalan Penempatan, di sini.
 
Roland turut dibantu peguam Nelson Anggang dan Ram Singh, manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Karpaljit Singh mewakili Lim.
 
Tengku Amir dibantu Timbalan Pendakwaraya Mohd Farez Rahman, Mahadi Abdul Jumaat dan Rozana Hj Abd Hadi.
 
 
  • oleh
  • Advertisement