Anda di sini

Pertemuan khas bersama KM dan Ellron rungkai spekulasi negatif: Kurup

Advertisement

NABAWAN: Presiden PBRS Tan Sri Jospeh Kurup menyifatkan perjumpaan khas bersama Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman baru-baru ini di Keningau dengan calon barisan nasional BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook Datuk Ellron Alfred Angin baru-baru ini amat tepat sekaligus merungkai pelbagai spekulasi negatif hubungan kepimpinan parti PBRS.

Justeru itu, beliau berharap semua ahli dalam PBRS serta barisan ahli kompenen BN lain dapat bersama-sama bagi memastikan calon kerusi Parlimen P.182 Pensiangan termasuk DUN N.37 Sook dan DUN N.38 Nabawan mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu selepas menghadiri pelancaran manifesto pilihanraya P182 Pensiangan di Dewan Belia dan Sukan, di sini baru-baru ini.

Kurup juga berharap calon BN P.182 Pensiangan iaitu Athur Tan Sri Kurup yang juga merupakan anaknya dapat meneruskan kelangsungan kepimpinannya sebelum ini dengan mendahulukan kebajikan rakyat yang memerlukan selain memastikan mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Kurup berkata, ini kerana beliau (Athur) sudah didedahkan dan telah terlibat dengan bidang politik selama 15 tahun.

Selain itu katanya, beliau juga sering didedahkan dengan memahami dan menghayati rakyat yang dalam kesusahan dan selalu diingatkan untuk membuat keputusan dengan mendahulukan rakyat.

“Saya seringkali mengingatkan beliau, apa-apa keputusan yang dibuat mesti melihat dari sudut kepentingan rakyat.

"Saya juga sering membawa beliau melihat sendiri dan menghayati kesusahan rakyat untuk dibantu khususnya di parlimen ini yang masih terdapat rakyat miskin dan miskin tegar," katanya.

Oleh itu katanya, beliau percaya dengan adanya pendidikan, ilmu yang diterapkan dan dipraktikkan oleh beliau, akan membawa kepada lonjakan perubahan kesejahteraan, pembangunan, peningkatan taraf hidup dan kesihatan rakyat di Parlimen Penisangan ini.

Sementara itu Arthur berkata, beliau telah bersedia menjadi wakil rakyat di Parlimen Pensiangan untuk membangunkan kawasan dan masyarakat di sini ke tahap yang lebih baik.

Katanya, beliau sejak terlibat dalam politik sudah menjelajah kampung-kampung di seluruh parlimen ini untuk mengenali dan memahami keperluan-keperluan rakyat di Parlimen Pensiangan.

Katanya, beliau sehingga kini terus bersama dengan masyarakat di Parlimen Pensiangan untuk melawat dan membantu mereka.

Ketika ditanya berkenaan kempen katanya, beliau tetap terus mendekati dan berjumpa dengan masyarakat di Parlimen Pensiangan bagi menerangkan agenda juga wawasan beliau untuk masyarakat di parlimen ini.

Katanya, aktiviti-aktiviti dan program yang dijalankan ini juga akan diberitahu dalam media sosial untuk pengetahuan masyarkat yang tidak berkesempatan hadir dalam program yang dijalankan.

Oleh itu beliau menyeru kepada masyarakat di Parlimen Pensiangan untuk memberi peluang dan kepercayaan kepadanya dengan menyokong beliau pada PRU14 termasuk calon DUN Sook dan Nabawan iaitu Datuk Ellron Alfred Angin dan Datuk Bobbey Suan.

Kurup dan Athur bersama ahli kompenen BN ketika melancarkan manifesto.
Kurup dan Athur bersama ahli kompenen BN ketika melancarkan manifesto.

Arthur merupakan calon baharu di Parlimen Pensiangan untuk PRU14 ini bagi menggantikan ayahnya Tan Sri Joseph Kurup. Beliau juga merupakan Timbalan PBRS.

Arthur bakal bertanding lima penjuru bagi merebut kerusi Parlimen P.182 Pensiangan dengan menyaksikan persaingan antara Raymond Ahuar (PKR), Joh Jimmy @ Richard Joe Jimmy (STAR), Maidin Atak (PCS) dan Engah Sintah (Bebas).

Advertisement