Anda di sini

BN sasar pengundi sebenar di setiap kampung

Advertisement

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan sedang menyasarkan pengundi sebenar dalam setiap pertemuannya di setiap kampung terutamanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap zon.

Pengerusi Penyelaras BN Parlimen Kinabatangan Dato Sri Bung Moktar Radin berkata semua jentera BN sedang giat menyasarkan dan mengenalpasti pengundi sebenar di setiap kawasan.

 

“Kita tidak sibuk mengira jumlah kehadiran orang dalam setiap ceramah seperti pihak pembangkang, tetapi kita mendekati rakyat dengan menyasarkan pengundi sebenar setiap gerakan yang kita lakukan,” katanya.

Beliau yang juga calon BN Parlimen Kinabatangan berkata setiap siri pertemuannya di kawasan Kinabatangan rakyat amat menyokong BN dan mereka juga adalah pengundi di kawasan berkenaan.

“Saya selaku pengerusi BN Kinabatangan akan memastikan kemenangan semua calon BN Parlimen Kinabatangan, DUN Kuamut dan DUN Sukau. Saya akan terus berkempen bagi pastikan kemenangan di kawasan kubu kuat BN ini,” katanya.

Bung Moktar sentiasa mengingatkan jentera BN di setiap kawasan agar tidak leka dan memandang rendah calon pembangkang yang bertanding sebaliknya melipat gandakan gerakan jentera bagi kenalpasti setiap pengundi sebenar.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua penyokong BN agar tidak meletakkan kepentingan individu untuk mengundi sebaliknya meletakkan undi kepada calon BN yang dipilih.

“Jangan ada niat meletakkan kepentingan peribadi yang mana undi calon BN parlimen dan jangan undi calon BN DUN atau undi calon BN DUN tapi jangan undi calon BN parlimen. Ini tidak betul… kita sepatutnya undi semua calon BN yang bertanding sama ada parlimen atau DUN,” tegasnya.

Bung Moktar tidak mahu ia berlaku pada jentera-jentera serta penyokong BN sebaliknya mereka menyokong BN untuk kepentingan parti.

“Kita lawan calon pembangkang. Kita mahu menangkan semua calon kita yang bertanding. Ini matlamat kita sebenar dan perjuangan kita adalah untuk parti BN,” katanya ketika berkempen di beberapa pulau di sini.

Beliau berkata rakyat Kinabatangan perlu bijak memilih dan tidak mudah percaya fitnah yang disebarkan di laman sosial yang memburukkan pucuk pimpinan serta parti BN.

BUNG Moktar bersama para belia di Tanjung Aru.
BUNG Moktar bersama para belia di Tanjung Aru.

“Kita tolak fitnah dan kita juga tolak pembangkang yang hanya berjanji kosong. Kerajaan BN tidak pernah abaikan tanggugjawab dalam menyediakan pelbagai pembangunan serta kemudahan kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Penyelaras BN Kinabatangan Datuk Jafry Ariffin, calon BN DUN Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman, Naib Ketua Bahagian Umno Kinabatangan Pg Aziz Pg Damsah dan para pemimpin BN kawasan itu.

  • oleh
  • Advertisement