Anda di sini

10,227 anggota polis di Sabah mengundi awal

Advertisement
RAMLI (dua kiri) dan Razarudin bersama pegawainya menunjukkan kesan dakwat selepas menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada Sabtu.
RAMLI (dua kiri) dan Razarudin bersama pegawainya menunjukkan kesan dakwat selepas menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Seramai 10,227 anggota polis di Sabah menunaikan tanggungjawab mengundi awal di beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata daripada jumlah itu, seramai 1,681 pegawai dan anggota menunaikan tanggungjawab mengundi di Mess Pegawai Kanan Polis IPK Sabah pada Sabtu.

Katanya, kesemua pegawai dan anggotanya serta pesara polis akan mengundi di tiga saluran yang dibuka di sini.

 

"Kontinjen Sabah juga merekodkan 501 anggota mengundi pos dan 384 daripada mereka sudah memulakan proses mengundi awal pada Jumaat," katanya ditemui selepas melakukan undian awal.

Turut kelihatan di pusat mengundi ialah timbalannya Datuk Razarudin Husain, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah (JSJ) dan Datuk Salehuudin Abd Rahman serta pegawai kanan lain.

Pegawai dan kakitangan polis dilihat mula beratur seawal jam 8 pagi bagi melakukan proses mengundi awal dan sebahagian anggota dijangka akan hadir dari semasa ke semasa berikutan menjalankan tugas mengikut waktu bekerja masing-masing.

Dalam pada itu Ramli berkata pihaknya kini sudah membuka 29 kertas siasatan berhubung laporan polis yang diterima sepanjang musim PRU-14 dijalankan termasuklah kes berkaitan khianat, fitnah, pencerobohan, kes tipu dan kes menyalahi Akta Antiberita Tiidak Benar 2018.

Kerusi Parlimen Penampang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru diantara calon Barisan Nasional (BN) Ceasar Mandela Malakun, Darell Leiking (Warisan), Cleftus Stephen Spine (Parti Solidariti) dan Dr. Edwin Bosi (Anak Negeri).

SEBAHAGIAN pegawai dan anggota polis yang beratur untuk mengundi di Mess Pegawai Kanan Polis IPK Sabah pada Sabtu.
SEBAHAGIAN pegawai dan anggota polis yang beratur untuk mengundi di Mess Pegawai Kanan Polis IPK Sabah pada Sabtu.

Manakala DUN Kapayan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Datuk Francis Goh dengan Chong Pit Fah (Solidariti) dan Jannie Lasimbang (DAP).

Sementara itu DUN Moyog menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Donald Peter Mojuntin (BN), Jenifer Lasimbang (Warisan), Dionisius Dennis J Tunding (PCS) dan Danim Aloysius Siap (Solidariti).

  • oleh
  • Advertisement