Anda di sini

Suami dibunuh akibat hubungan sulit isteri terbongkar?

Advertisement

TAWAU: Polis memburu isteri kepada seorang pekerja ladang yang ditemui mati disyaki dibunuh di Kg Murai, Ladang Kretam, Kalabakan, pada Jumaat, dengan motif kejadian dipercayai berpunca selepas hubungan sulit wanita itu dengan suspek utama terbongkar.

 

‘Teman skandal wanita itu’ yang juga suspek utama sudah ditangkap di ladang sawit pada jarak 2 kilometer dari lokasi kejadian hasil bantuan penduduk kampung kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata polis berusaha mengesan wanita terbabit yang disyaki melarikan diri dari rumah selepas kejadian menimpa suaminya.

“Kita masih menjalankan usaha memburu isteri kepada si mati iaitu seorang wanita warga asing berusia 42 tahun,” katanya menerusi kenyataan medianya di sini pada Sabtu.

Fadil berkata si mati berusia 35 tahun, manakala suspek lelaki yang diberkas berumur 21 tahun, dan kedua-duanya rakyat dari negara jiran serta bekerja sebagai buruh ladang.

POLIS kini memburu wanita ini yang disyaki menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga membawa kepada kematian suaminya.
POLIS kini memburu wanita ini yang disyaki menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga membawa kepada kematian suaminya.

Menurutnya, aduan penemuan mayat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah dalam kes itu diterima daripada pengurus ladang pada Jumaat kira-kira jam 1.15 petang.

“Si mati cedera di leher, disyaki kesan tetakan benda tajam, dan kita sudah merampas tiga bilah parang panjang berukuran 70CM, 53CM dan 44CM (termasuk hulu),” katanya.

Siasatan awal polis, berlaku pergaduhan antara si mati dan suspek sebaik si isteri didapati berdua-duaan dengan suspek di rumah apabila si mati pulang pada kira-kira jam 11 pagi.

Beliau berkata siasatan polis juga menunjukkan bahawa selepas pergaduhan itu, suspek melarikan diri melalui pintu belakang dan terus menuju ke ladang sawit berhampiran.

FADIL
FADIL

“Si mati sudah bekerja selama sembilan tahun di ladang terbabit, manakala suspek pula baharu sahaja bekerja selama satu tahun di ladang yang sama,” katanya.

Menurutnya, mayat si mati juga sudah dihantar ke bilik mayat di Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat, namun buat masa ini tarikh dan masanya belum diputuskan lagi.

Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) bermula Sabtu dan siasatan kes dibuka menerusi Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

  • oleh
  • Advertisement