Anda di sini

Rakyat Ranau akan terus setia sokong BN

Advertisement

RANAU: Rakyat di daerah Ranau akan terus setia menyokong penuh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, penduduk Ranau yang turut merangkumi kerusi Parlimen, DUN Karanaan, DUN Kundasang dan DUN Paginatan adalah mereka yang baik budi dan menghargai segala usaha pembangunan dibawa kerajaan ke situ.

 

Katanya, kewujudan calon parti pembangkang di negeri ini tidak akan menggugat kesetiaan dan sokongan rakyat Ranau kepada BN.

"Rakyat Ranau tahu menilai mana satu kaca dan mana satu permata. Rata-rata penyokong kita (BN) tidak boleh ditipu, mereka tetap setia dan akan bersama BN.

"Kita tidak khuatir dengan calon pembangkang pada PRU14 kali ini, kerana para penyokong dan kami sendiri (calon-calon BN) akan terus melawan dan saya yakin rakyat Ranau akan terus menyokong kerajaan BN," katanya ketika melawat beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan beramah mesra dengan para penyokong BN di sini baru-baru ini.

Joachim berkata jentera parti juga akan menyokong calon-calon BN yang telah dipilih oleh pucuk kepimpinan bagi mewakili kerusi Parlimen dan DUN di kawasan itu pada PRU14 bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.

Katanya, masih banyak lagi pembangunan diperlukan oleh penduduk Ranau termasuk kemudahan jalan raya, bekalan air bersih dan juga elektrik.

BERGAMBAR bersama pemimpin dan para penyokong BN di Ranau.
BERGAMBAR bersama pemimpin dan para penyokong BN di Ranau.

"Sehubungan itu, rakyat Ranau perlu menyokong penuh BN pada PRU14 bagi membolehkan aspirasi mereka untuk melihat lebih banyak pembangunan di kawasan itu direalisasikan," katanya.

Turut hadir adalah Ketua Pemuda UPKO Nasional Arthur Sen yang mewakili calon BN Parlimen Ranau Datuk Dr. Ewon Ebin.

Advertisement