Anda di sini

Perpustakaan Islam dijangka siap tahun ini

Advertisement

KOTA KINABALU: Perpustakaan Islam Negeri Sabah yang dibina dengan kos bernilai RM3 juta di perkarangan Masjid Negeri Sabah dijangka siap pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perpustakaan yang kini sudah hampir 70 peratus siap itu akan menempatkan galeri kaligrafi Islamik serta buku dan kitab berkaitan agama dari seluruh dunia.

Ia termasuklah salinan tesis-tesis Ijazah Doktof Falsafah (PhD) dari Universiti Al-Azhar Mesir. Bahan-bahan ini akan menjadi rujukan bukan sahaja di Sabah malah di Nusantara Asean.

ARIFIN (duduk, sembilan kiri) bersama Afsah (duduk, lapan kiri) dan Sidik (duduk, sepuluh kanan) bergambar dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jheains 2017.
ARIFIN (duduk, sembilan kiri) bersama Afsah (duduk, lapan kiri) dan Sidik (duduk, sepuluh kanan) bergambar dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jheains 2017.

“Saya mahu perpustakaan ini menjadi perpustakaan rujukan ilmuan, penyelidik dan pelajar seluruh Asean,” katanya ketika ditanya tentang perkembangan terkini pembinaan Perpustakaan Islam Negeri Sabah.

Arifin berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), di Dewan Sa’adah Wisma Muis pada Jumaat.

Dalam majlis itu, 113 orang kakitangan Jheains menerima sijil termasuk 64 pesara yang menamatkan perkhidmatan di jabatan berkenaan.

Beliau juga memohon kepada pengurusan Jheains supaya menitikberatkan kebajikan pegawai dan kakitangan Jheains, terutama pegawai lantikan supaya mereka boleh memegang jawatan tetap.

Terdapat kira-kira 600 orang pegawai lantikan yang bertugas di Jheains pada masa ini. Di seluruh Sabah, Jheains mempunyai lebih 1, 000 kakitangan termasuklah pegawai lantikan tidak tetap ini.

Arifin berkata Jheains berjaya menyelesaikan hampir 70 peratus permasalahan berkaitan perjawatan dan kebajikan kakitangannya sejak empat tahun lalu.

Atas sebab itu, beliau meminta pengarah Jheains supaya memberi fokus kepada usaha menyelesaikan isu perjawatan dan kenaikan gaji kakitangan Jheains.

Beliau juga menyarankan kakitangan Jheains supaya melaksana hubungan baik dengan agensi agama lain bagi memudahkan urusan dan penganjuran program yang memerlukan kerjasama pelbagai agensi agama.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Timbalan Pengarah Pengurusan Jheains Siti Afsah Mohd Yati @ Mohd Kudi dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) Mohamad Sidik Ag Adi.

  • oleh
  • Advertisement