Anda di sini

Pengusaha teksi perlu manfaatkan e-hailing

Advertisement

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menyarankan pengusaha teksi di negeri ini supaya memanfaatkan perkhidmatan e-hailing bagi memperluaskan perkhidmatan mereka kepada pengguna.

Namun, ia terpulang kepada pengusaha teksi untuk memilih aplikasi yang ingin digunakan. Pihak LPKP hanya menyediakan medium melalui e-hailing untuk mereka memperluaskan perkhidmatan mereka, kata Pengarah LPKP Sabah Arfian Julian.

Beliau berkata LPKP bertanggungjawab mengawal selia aplikasi perkhidmatan e-hailing seperti My Car, Grab, Pink Ride. Jadi pengusaha hanya perlu mendaftar dengan LPKP.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Kad Bantuan Teksi Malaysia Zon Kota Kinabalu, di sini pada Sabtu.

ABDUL Rahman (tengah) bergambar bersama pengusaha teksi yang menerima kad bantuan berkenaan.
ABDUL Rahman (tengah) bergambar bersama pengusaha teksi yang menerima kad bantuan berkenaan.

Arfian berkata menerusi kad bantuan itu, beberapa inisiatif diperkenalkan termasuklah membenarkan mana-mana model kenderaan dengan sekurang-kurangnya memperoleh penarafan tiga bintang boleh dijadikan teksi.

Katanya, sebelum ini hanya kenderaan 1, 450cc sahaja dibenarkan digunakan sebagai teksi. Kini, kenderaan seperti MyVi dan Bezza juga boleh digunakan sebagai teksi.

“Melalui inisiatif ini, pemandu teksi tidak perlu lagi berpakaian uniform seperti sekarang. Mereka hanya perlu berpakaian sopan dan kemas. Seperti memakai t-shirt berkolar, kemeja dan tidak berseluar jeans.

“Malah, usia kenderaan yang boleh dijadikan sebagai teksi juga ditingkatkan kepada 10 tahun dan ke bawah berbanding lima tahun sebelum ini.

“Inisiatif lain termasuklah membenarkan ada pemandu kedua. Polisi sedia ada lesen individu tidak membenarkan ada pemandu kedua. Tapi bermula Julai ini, LPKP membenarkan lesen individu supaya mendaftarkan pemandu kedua,” jelasnya.

Arfian berkata seluruh Sabah terdapat 4, 422 pengusaha teksi yang berdaftar dengan LPKP.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun aplikasi seperti Grab dan My Car bukan diusahakan oleh kerajaan namun, kerajaan akan cuba mengawal keadaan pasaran supaya semua pihak memperoleh keuntungan.

Katanya, Grab bukan idea kerajaan. Ia adalah jelmaan pasaran apabila teknologi bercantum dengan permintaan pasaran. Bagaimanapun kerajaan cuba memastikan semua orang mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi digital itu.

Beliau berkata, kerajaan berusaha memastikan ramai pelancong datang supaya perkhidmatan teksi dan Grab terus mendapat permintaan pelanggan.

  • oleh
  • Advertisement