Anda di sini

Lebih 3,000 anggota keselamatan mengundi di Pangkalan TLDM Sepanggar

Advertisement

KOTA KINABALU: Seramai lebih 3,000 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk ahli keluarga masing-masing mula melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Proses pengundian awal yang bermula seawal jam 8 pagi itu bertempat di  Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar.

 

Proses pengundian awal itu dijangka akan ditutup pada jam lima petang berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Pangkalan TLDM ini dikhaskan untuk pengundi yang mendaftar di Parlimen Sepanggar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan DUN Inanam.

Turut serta dalam proses membuang undi itu ialah Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman bersama isteri Datin Mariam Suri Ahmad.

SYED (kiri) bersama isteri menunjukkan dakwat di jari masing-masing selepas membuang undi.
SYED (kiri) bersama isteri menunjukkan dakwat di jari masing-masing selepas membuang undi.

Kerusi Parlimen Sepanggar bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Azis Jamman dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Jeffrey Kumin dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Robert Sopining dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Sementara DUN Inanam akan menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara calon BN Datuk Johnny Goh yang akan ditentang oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kenny Chua, Terence Tsen dari Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), John Stephen Dionysius (SAPP), Jakariah Janit dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Situl Mintow calon Bebas.

Manakala, DUN Karambunai turut menyaksikan pertandingan empat penjuru yang mana penyandangnya Datuk Jainab Ahmad Ayid dari BN bakal ditentang tiga calon pembangkang iaitu Azhar Matussin (Warisan), Ahsim Jamat (SAPP) dan Aspar Oyet Parti Islam Se Malaysia (PAS).

ANTARA isteri-isteri dan anak-anak anggota keselamatan yang turut serta dalam proses pengundian awal.
ANTARA isteri-isteri dan anak-anak anggota keselamatan yang turut serta dalam proses pengundian awal.
  • oleh
  • Advertisement