Anda di sini

Jainab laksana kempen ziarah rumah ke rumah

Advertisement

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid terus mengekalkan strategi kempen dengan ziarah rumah ke rumah bagi mendengar keluhan rakyat di kawasannya.

Beliau yang berdepan saingan empat penjuru mengatur langkah awal iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehinggalah kini dengan terus mendampingi rakyat sepertimana yang dilaksanakan pada PRU sebelumnya.

"Inilah yang saya lakukan selaku wakil rakyat bagi membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya mengutamakan soal rakyat sehingga sekarang (musim PRU).

 

"Saya akan terus turun padang berjumpa rakyat sebagai mata dan telinga untuk mendengar sendiri masalah mereka, termasuk memberi pemahaman jelas tentang kekeliruan atau tidak tahu tentang bantuan yang disediakan kerajaan melalui kementerian saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Ziarah Kasih di Kampung Lorong Kemajuan Likas, pada Khamis.

Ditanya mengenai saingan pihak lawan, Jainab yang juga Naib Ketua Wanita Umno Sabah itu tidak menafikan bahawa pihak lawan tidak akan duduk diam mencari  kekurangan kepimpinan kerajaan sebelum ini.

Namun, beliau tidak duduk diam untuk terus mendapatkan sokongan padu daripada rakyat sepanjang musim kempen hinggalah pada hari pengundian.

"Sebelum ini kita lebih menumpukan kawasan hitam, kali ini kita akan lebih fokus secara berperingkat - peringkat iaitu bermula di kawasan 'putih', misalnya di Likas ini, Jalinan Rakyat (JR) Plus kita sudah mengenalpasti seramai 1,720 dari jumlah keseluruhan iaitu seramai 2,120 orang.

"Namun kita juga tidak akan mengetepikan kawasan kelabu yang mana ia juga dianggap kawasan yang penting sebelum kita beralih ke lokasi lain agar usaha kita tidak sia- sia, " jelasnya.

JAINAB (tiga kiri) mengadakan program ziarah kasih ke rumah Muhin (dua, kiri) sempena kenduri 40 arwah isterinya, di Kampung Lorong Kemajuan Likas.
JAINAB (tiga kiri) mengadakan program ziarah kasih ke rumah Muhin (dua, kiri) sempena kenduri 40 arwah isterinya, di Kampung Lorong Kemajuan Likas.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat agar turun melaksanakan tugas sebagai pemilih pada hari pengundian kelak dan berharap agar memilih kerajaan yang bukan hanya setakat memberi janji kosong pada PRU kali ini.

Sementara itu, salah seorang penduduk Likas Muhin Madin, 51, yang mengidap sakit buah pinggang memuji sifat terpuji Jainab yang sentiasa mesra rakyat dan tidak pernah mengetepikan soal kebajikan rakyat di kawasannya.

Beliau yang dahulunya pernah bergiat aktif dalam arena politik itu sehingga dilantik sebagai ketua cawangan BN terpaksa berhenti disebabkan masalah kesihatan yang dialaminya sejak lapan tahun yang lalu.

"Walaupun saya sudah tiada kudrat untuk berjuang bersama- sama ahli parti yang lain, namun saya tetap menyokong kerajaan BN, sehinggalah anak perempuan saya meneruskan legasi saya selaku Puteri UMNO di kawasan ini," katanya.

Pada PRU-13, Jainab  yang sudah berkhidmat selama tiga penggal di DUN Karambunai berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 8,532 undi menewaskan pencabarnya dari PKR.

Advertisement