KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) N.24 Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yakin sokongan rakyat di kawasan Kimanis terhadap BN masih kuat.
Ini terbukti melalui lawatan yang dilakukan bersama calon Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman sepanjang kempen berlangsung selama seminggu yang mana, sambutan rakyat di kawasan itu masih tetap bersama BN.
“Saya yakin mereka akan memberi terjemahan sokongan mereka ini melalui undian mereka di Kimanis, Membakut dan Bongawan malah, di seluruh Sabah.
“Trek rekod BN memang jelas dan apa juga yang disebut berhubung keagamaan, perpaduan, keharmonian dan pembangunan prasarana semua dilaksana dengan baik oleh kerajaan pimpinan BN,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan semasa kempen di Membakut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), di sini pada Jumaat.
Arifin adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut yang memenangi kerusi itu pada PRU13 dibawah payung BN dengan undi majoriti 3, 510 undi menewaskan pencabar terdekatnya Narawi @ Sinar Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).