Anda di sini

Rela berperanan tangkis fitnah

Advertisement

KOTA BELUD: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mempunyai peranan yang besar untuk membantu kerajaan menangkis fitnah yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab melalui media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata selain membantu menjaga keselamatan dan keharmonian di negara ini, Rela kini juga mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu kerajaan bagi memastikan penduduk di kawasan masing-masing mandapat maklumat yang tepat dan sahih.

SALLEH semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
SALLEH semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

"Anggota Rela yang telah dilantik kerajaan perlu bersama kerajaan menerangkan kepada orang kampung untuk berhati-hati dengan maklumat yang ditularkan melalui media sosial.

"(Ini) kerana fitnah dan maklumat palsu yang ditularkan melalui media sosial itu boleh mengakibatkan perpecahan kaum, agama dan juga dalam kalangan keluarga sendiri. Apabila ada perpecahan, keselamatan dan keharmonian negara juga akan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama anggota Rela di daerah Kota Belud, di sini hari ini.

Salleh berkata berita palsu atau fitnah kini menjadi satu musuh negara, kerana ia boleh merosakkan perpaduan yang dikecapi sejak kemerdekaan.

"Kita harus mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Kita mahu matlamat kemerdekan itu dapat dirasai oleh seluruh rakyat di negara ini...kerajaan yang ada sekarang sejak dari dahulu lagi berusaha mengisikan kemerdekaan dengan melaksanakan pelbagai pembangunan di merata tempat di seluruh Malaysia.

"Namun kita harus berhati-hati kerana ketika kita menikmati suasana kemerdekaan pada masa kini, ada juga pihak luar yang cemburu dengan kejayaan yang negara kita kecapi...dan mereka (pihak yang cemburu) cuba mencari jalan untuk merosakkan negara kita terutamanya menggunakan berita palsu atau fitnah yang disebarkan melalui media sosial," tambahnya.

Salleh berkata kerajaan sentiasa berusaha menyediakan kelengkapan yang diperlukan agar usaha untuk membantu menjaga keamanan negara dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

"Oleh itu, Rela perlu membantu dan menyokong penuh usaha kerajaan untuk mempertahankan kestabilan dan keamanan negara dan saya berbangga kerana kira-kira 25,000 anggota Rela di Kota Belud terus bersama kerajaan untuk membantu memastikan keharmonian di seluruh pelusuk kawasan ini," tambahnya.-Bernama.

Advertisement