Anda di sini

Rakyat Sabah nyatakan sokongan kepada BN

Advertisement

SANDAKAN: Ketua Menteri  Tan Sri Musa Aman berkata rakyat Sabah menyatakan akan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan mereka kepadanya sepanjang lawatannya ke beberapa tempat di negeri ini selepas  penamaan calon PRU14 Sabtu lepas.

 

"Mengapa, kerana mereka sedar kerajaan BN yang baik dan membantu rakyat walau mereka berada di darat dan pulau.

"Kita (pemimpin BN) ada rekod baik dalam melaksanakan pembangunan untuk rakyat kerana kita adalah kerajaan yang mengotakan janji yang diberikan kepada rakyat," katanya pada majlis pecah tanah  Kompleks Pusat Islam Libaran di sini, hari ini.

Musa yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga berkata rakyat Sabah pandai menilai kerajaan yang dapat memberi kebaikan kepada mereka.

Justeru, katanya, BN akan meneruskan perjuangan melaksanakan pembangunan di negeri ini dan membela nasib rakyat yang merupakan agenda berterusan.

“Perjuangan itu dapat dijadikan kenyataan kerana ada  kerajaan  dan pemimpin yang baik sentiasa dengar keluhan rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Musa yang juga pengerusi BN Sabah menyifatkan tindakan beberapa pemimpin dan anggota parti pembangkang di beberapa daerah di negeri ini keluar  parti baru-baru ini jelas membuktikan mereka sedar bahawa perjuangan parti pembangkang tidak ikhlas.

Katanya tindakan mereka memberikan sokongan kepada BN disebabkan mereka sedar bahawa perjuangan BN yang ikhlas untuk rakyat.

Justeru, Musa menzahirkan keyakinan bahawa BN akan memperolehi kejayaan besar dalam PRU14 ini.

MUSA (kiri) yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga menyematkan lencana di baju Ketua Bahagian Parti Harapan Rakyat Sabah Parlimen Batu Sapi Basri Ibrahim yang mengumumkan memihak kepada BN selepas majlis pecah tanah Kompleks Pusat Islam di Jalan Sungai Kayu hari ini.
MUSA (kiri) yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga menyematkan lencana di baju Ketua Bahagian Parti Harapan Rakyat Sabah Parlimen Batu Sapi Basri Ibrahim yang mengumumkan memihak kepada BN selepas majlis pecah tanah Kompleks Pusat Islam di Jalan Sungai Kayu hari ini.

Selepas majlis itu juga, Ketua Cabang PKR Batu Sapi Mustafah Talib dan Ketua Bahagian  Parti Harapan Rakyat Sabah Batu Sapi Basri Ibrahim berjumpa Musa bagi menyatakan sokongan kepada BN.

Mustafah bersama-sama 1,360 anggota PKR dan Basri bersama-sama 1,120 anggota Parti  Harapan Rakyat Sabah mengumumkan keluar daripada parti masing-masing.-Bernama.

Advertisement