Anda di sini

Pengukuran tanah kampung tradisi akan berterusan

Advertisement
 Awang Tengah (depan, empat kiri) ketika menyerahkan surat hak milik tanah tradisi kepada salah seorang wakil penerima disaksikan Fatimah (depan, tiga, kiri) dan yang lain.
TERIMALAH: Awang Tengah (depan, empat kiri) ketika menyerahkan surat hak milik tanah tradisi kepada salah seorang wakil penerima disaksikan Fatimah (depan, tiga, kiri) dan yang lain.

MUKAH: Pengukuran tanah bagi kampung tradisi di seluruh negeri ini akan dilaksanakan secara berterusan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rakyat tidak perlu bimbang akan hak milikan tanah yang belum diberikan surat.

“Jangan bimbang, ini (menyukat tanah tradisi) adalah proses yang masih dan berterusan dilakukan kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Kampung Tradisi, Kampung Balan, Kampung Sungai Ud dan Kampung Medong di Stadium Perpaduan Dalat, semalam.

Menurutnya, pihak kerajaan amat prihatin terhadap hak milikan tanah di negeri ini dan telah banyak usaha diambil untuk memastikan hak milik itu diberikan kepada orang sepatutnya.

Bagi tanah tradisi atau kampung yang belum disukat, ia akan dilaksanakan dalam projek seterusnya.

Di bahagian Mukah, Awang Tengah memberitahu, 80 kampung melibatkan 10,139 rumah telah dikeluarkan surat hak milik tanah.

Sebanyak 1,119 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di tiga kampung di Dalat diserahkan pada majlis itu.

Mengenai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) juga, bukan sahaja mendapat perhatian daripada kerajaan negeri, malah ia turut mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan turut memberi banyak peruntukan supaya tanah NCR disukat dan diberikan hak milik kepada pemiliknya,” jelas beliau.

Ini kata Awang Tengah, turut menandakan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap hal itu.

Bukan sahaja itu, malah kerajaan negeri dan persekutuan telah banyak membuktikan betapa komitednya untuk memberi pembangunan serta bantuan kepada rakyat terutama di negeri ini.

Tidak ketinggalan juga mengenai hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang Menurut Awang Tengah, bakal diberi semula ke atas hak sama ada yang terhakis secara sengaja atau tidak.     

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Tellian Yussibnosh Balo, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Residen Mukah Awang Johari Awang Mustapha.

  • oleh
  • Advertisement