Anda di sini

Penganggur dituduh bunuh kanak-kanak enam tahun

Advertisement

KANGAR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, dua minggu lepas.

Tertuduh, Noraizuwan Hamali, 26, didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan, di Nombor 33 Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi dekat sini, antara jam 3.45 petang 18 April lepas dan 12.10 tengah malam 19 April lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh memberitahu tidak memahami pertuduhan walaupun ia telah dibacakan dua kali oleh jurubahasa mahkamah dan majistret sendiri.

Justeru itu, Majistret Norhayati Ibrahim menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Dalam kejadian dua minggu lepas Mohamad Rayyan Hidayat, dipercayai anak teman wanita tertuduh, dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, setelah tidak sedarkan diri dan mengalami muntah-muntah sebelum disahkan meninggal dunia. — Bernama

Advertisement