Anda di sini

Mantapkan sokongan demi kemenangan calon BN

Advertisement

BELURAN: Penduduk di kawasan Labuk digesa terus memantapkan sokongan padu untuk menjamin kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Calon muka baharu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Labuk Abdul Rahman Datuk Haji Kongkawang berkata kemenangan calon BN amat penting untuk mewujudkan kestabilan politik, selain memastikan kesinambungan program pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat khasnya di kawasan berkenaan.

 
 
Katanya, masyarakat di seluruh pelosok kawasan Labuk dan juga warga kakitangan kerajaan termasuklah Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) perlu memberi sokongan dan kerjasama untuk menyokong kerajaan.
 
Menurutnya, para pengundi di kawasan Labuk perlu memberi peluang kepadanya selaku calon BN/PBS bagi kawasan N.40 Labuk yang dicalonkan oleh Ketua Menteri Sabah untuk memenangi PRU14.
 
“Saya akan membalas budi serta menabur jasa kepada masyarakat khasnya di kawasan DUN Labuk sekiranya saya diberi peluang untuk menang dalam PRU ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Pekerja AKP 2018 peringkat daerah Beluran di Dewan Asrama SMK Beluran, di sini.
 
Mengenai majlis itu, beliau mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa (AJK) penganjur kerana menjemput beliau untuk menyempurnakan perasmian majlis yang julung kali dianjurkan itu.
 
Beliau berkata, sumbangan dan tugas murni semua AKP di daerah ini amat besar dan sewajarnya dihargai kerana mereka berperanan penting dalam membantu pentadbiran organisasi, khasnya dalam aspek pengurusan kewangan.
 
Abdul Rahman berkata, beliau memahami tugas dan beban yang dipikul oleh para AKP dalam melaksanakan bidang tugas dan tanggungjawab mereka terutama para AKP yang telah berkeluarga kerana selain menjalankan tugas rasmi di pejabat, mereka juga perlu memikul tanggungjawb mengurus keperluan anak-anak dan keluarga.
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau amat bersetuju dengan penubuhan Persatuan AKP Daerah Beluran yang berperanan penting untuk mengangkat martabat atau kepentingan AKP untuk meningkatkan lagi prestasi kerja setiap AKP, sekali gus menaikkan nama Pejabat Pendidikan Daerah Beluran.
 
Beliau menyarankan AJK Persatuan AKP PPD Beluran (Aineeh Basnuh) agar mempelawa semua AKP dalam daerah ini untuk menyertai dan mendaftar secara rasmi sebagai ahli persatuan itu. 
ABDUL Rahman (kanan) menerima cenderamata perasmian disampaikan Aineeh Basnuh sambil diperhatikan Jamil (kiri).
ABDUL Rahman (kanan) menerima cenderamata perasmian disampaikan Aineeh Basnuh sambil diperhatikan Jamil (kiri).
 
Abdul Rahman, 55, yang juga timbalan ketua bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuk dan mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Labuk juga menyarankan agar AJK persatuan itu dapat menambah dan mencari idea baharu untuk mengembang dan memantapkan lagi AKP PPD Beluran.
 
Lebih 100 orang AKP menghadiri majlis itu dengan tema ‘Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara’.
 
Turut berucap pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Persatuan AKP Daerah Beluran Jamil Amil dari SMK Terusan Sugut.
  • oleh
  • Advertisement