Anda di sini

Lelaki didenda RM13,000, penjara terima rasuah, guna dokumen palsu

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikenakan denda RM13,000 atau penjara, selepas mengaku salah menerima rasuah dan menggunakan dokumen palsu, menguruskan pinjaman peribadi seorang wanita.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Alfian Nizam Jasrie, 25, yang diwakili peguam P.J Perira.

Pertama, tertuduh dikenakan penjara sehari dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan, kerana menerima RM1,200 daripada Rosnah Musing, 43, melalui Muhammad Awang.

 

Wang itu sebagai upah menguruskan permohonan pinjaman peribadi Rosnah, sehingga diluluskan sebanyak RM16,000.

Kesalahan dilakukan pada 12 Mei 2016 di perkarangan parkir Bank Rakyat cawangan Kota Kinabalu di sini.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kedua, Alfian didenda RM3,000 atau penjara 30 hari, atas kesalahan menggunakan dokumen palsu perjanjian penyewaan rumah antara Rosnah dan Bayani Isnani.

Dokumen terbabit disertakan dalam fail pembiayaan bertarikh 4 Mei 2016, sebagai sokongan kelulusan pembiayaan peribadi itu.

Tertuduh yang disabitkan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, melakukan kesalahan itu pada 11 Mei 2016 di Unit Kredit Bank Rakyat, di sini.

Semasa rayuan, P.J menyatakan anak guamnya seorang pesalah pertama dan menyesal dengan perbuataan yang dilakukannya.

"Pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan kos, selain itu tertuduh juga memberikan kerja sama dengan pihak SPRM.

"Faktor-faktor ini harus diberikan pertimbangan. Mohon denda dan hukuman yang ringan dikenakan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement