Anda di sini

Khareez Kasbulah pertaruh single pertama ‘Ikut Hati’

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Setelah tujuh tahun mencipta nama di laman YouTube dengan merakam semula lagu penyanyi lain, Khareez Kasbulah, 24, akhirnya muncul dengan single pertamanya, ‘Ikut Hati’.

Bercakap  kepada Bernama, Khareez berkata keistimewaan lagu itu terletak pada liriknya yang mengisahkan seorang yang ingin merasa bebas selepas mengalami putus cinta.

“‘Ikut Hati’ ditulis dengan gaya yang tidak sedih, tentang seorang yang merasa bebas selepas meninggalkan perhubungan.

“Proses pembikinan lagu seperti lirik dan demo telah dibuat sejak Januari lagi manakala video muzik pula kami mulakan rakaman pada bulan lepas,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, Selasa.

Menurutnya, ‘Ikut Hati’ dihasilkan melalui kerjasama dengan komposer terkenal Audi Mok dan Shazee Ishak.

Khareez yang pernah memenangi Anugerah Nova Media Sosial di Anugerah Planet Muzik 2014 telah menjadikan video muzik penyanyi antarabangsa Charlie Puth berjudul ‘How Long’ sebagai inspirasi dalam proses pembikinan video muzik single pertamanya itu.

Beliau berkata, single bergenre pop itu dihasilkan hanya untuk berkarya dan tidak bersaing dengan mana-mana penyanyi tempatan.

“Saya tidak rasa untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi seperti Ismail Izzani dan Asád Motawh sebab lagu ini dibuat hanya untuk berkarya sahaja.

“Saya berharap semua orang akan suka dengan lagu ini sebab kami sudah meletakkan usaha untuk jayakannya,” katanya sambil berharap single pertamanya itu dapat menembusi pasaran muzik di Indonesia.

— Bernama

Advertisement