Anda di sini

Keputusan berhubung bantahan SPR terhadap saman Tian Chua hari ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan hari ini berhubung bantahan awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai saman pemula (OS) yang difailkan naib presiden PKR, Tian Chua kerana tidak membenarkan pencalonannya untuk bertanding kerusi Parlimen Batu bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hakim Datuk Nordin Hasan menetapkan tarikh itu semalam selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Anwar Mohd Zain dan Suruhanjaya Pilihan Raya yang dinamakan sebagai responden berhujah Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan keputusan RO menolak pencalonan Tian Chua bertanding di kerusi Parlimen Batu dalam PRU14.

Beliau berkata bidang kuasa itu diberikan kepada Hakim Pilihan Raya untuk mendengar petisyen pilihan raya.

“Seorang hakim pilihan raya ditakrif mengikut Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sebagai ketua hakim atau seorang hakim bagi Mahkamah Tinggi yang dinamakan oleh Ketua Hakim untuk membicarakan petisyen pilihan raya,” katanya.

Amarjeet berkata usaha memfailkan petisyen pilihan raya adalah satu-satunya cara untuk mempersoalkan satu pilihan raya yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau kepada Dewan Undangan Negeri perlu dipersoalkan kecuali oleh satu petisyen pilihan raya yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di mana pilihan raya itu diadakan,” katanya.

Amarjeet berkata keputusan pegawai pengurus pilihan raya adalah muktamad dan konklusif bagi tujuan pilihan raya dari segi di mana prosiding sedang diadakan dan tidak akan dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Beliau berkata oleh itu undang-undang pilihan raya dengan jelas menyediakan satu-satunya cara untuk mencabar penolakan kertas penamaan calon melalui satu petisyen pilihan raya.

“Ia adalah undang-undang yang jelas bahawa bidang kuasa yang mengawal perkara-perkara pilihan raya adalah bidang kuasa khusus dan tertakluk kepada undang-undang pilihan raya yang mewujudkan bidang kuasa. Tidak wujud asalnya bidang kuasa sivil Mahkamah Tinggi yang diberikan kepada Mahkamah Tinggi melalui Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.

Beliau berkata saman yang dibawa oleh Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chan adalah jelas tidak serius dan menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah, dan oleh itu harus ditolak.

Peguam Datuk Gurdial Singh Nijar mewakili Tian Chua berhujah bahawa isu petisyen pilihan raya yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak relevan dengan pengisytiharan yang diminta oleh pemohon.

“Kami cuba untuk mewujudkan status undang-undang pemohon sama ada dia layak atau tidak. Atas sebab ini, tindakan ini diteruskan melalui OS dan bukan sebarang mod lain termasuk petisyen pilihan raya,” katanya.

Pada 30 April, Tian Chua memfailkan satu saman pemula menamakan Anwar dan SPR sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam samannya, bekas Ahli Parlimen Batu memohon satu pengisytiharan mahkamah  bahawa beliau berhak untuk dicalonkan dan bertanding untuk kerusi itu, menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Pencalonan Tian Chua ditolak RO atas alasan bahawa pada 2 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenakan denda RM2,000 ke atas beliau kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan yang difailkan Tian Chua dan mengurangkan denda itu kepada RM2,000.

Pada mulanya, beliau didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana mengeluarkan perkataan kesat yang mengaibkan seorang pegawai polis pada 2014.

Dalam permohonanya, Tian Chua juga mendakwa bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, beliau dibenarkan untuk bertanding walaupun didenda RM2,000 oleh mahkamah pada ketika itu. — Bernama

Advertisement