Anda di sini

Impian OJ mentransformasi ekonomi, modal insan dan landskap Balung

Advertisement

SEBELUM namanya diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung lagi, sudah ada yang melihatnya sebagai keputusan kepimpinan parti yang kurang popular.

Lebih-lebih lagi ketika populariti Datuk Osman Jamal yang lebih dikenali sebagai Datuk OJ atau OJ dilihat lebih menonjol di Parlimen Kalabakan berbanding di Parlimen Tawau.

 

Justeru, tidak menghairankan jika ada ‘orang dalam parti’ tanpa berselindung meluahkan rasa tidak puas hati, malah memprotes pemilihannya dengan gelaran calon payung terjun.

Begitupun, berbaki tujuh hari Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), OJ dilihat berjaya menangani isu ketidakpuasan hati warga Umno Tawau, khususnya Umno Balung sendiri.

Siapa sebenarnya OJ? Mengapa kehadirannya mencetuskan sensasi sehingga menjadi sebutan? Utusan Borneo cuba melihat sudut relevannya dicalonkan di DUN Balung.

Semenjak 2001, Balung muncul sebagai kawasan pesat membangun di Daerah Tawau dengan pelbagai kemudahan prasarana, semenjak Lapangan Terbang Tawau baharu beroperasi.

Malah, Balung juga menjadi pintu keluar-masuk utama laluan darat antara Tawau dan daerah jiran seperti Kunak dan Semporna, selain menjadi hab pendidikan di daerah ini.

Balung kini memiliki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Kampus Tawau, Open University Malaysia (OUM) Tawau, Politeknik Tawau Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau dan Tawau Vision School.

Pada masa sama, DUN ini menjadi antara lokasi tumpuan sektor perladangan kelapa sawit berskala besar, termasuk wujudnya kilang-kilang memproses buah sawit.

Dalam aspek pelancongan, kawasan ini dikenali ramai kerana terdapatnya bongkahan batu (batuan bersusun) berusia hampir 27,000 tahun, Balung River Eco Resort, Sipadan Mangrove Resort, serta keunikan kepelbagaian kebudayaan penduduknya.

Proses urbanisasi Pekan Balung juga semakin rancak dengan kewujudan Taman Sawit yang berupaya merangsang perkembangan positif ke arah mencapai status bandar baharu.

Sehubungan itu, kehadiran OJ yang berpengalaman luas dalam pelbagai projek pembangunan dilihat mengandungi mesej tersirat pelan jangka masa panjang kerajaan.

Semasa ditemui Utusan Borneo, OJ percaya pemilihannya diletakkan sebagai calon BN di Balung bukan sekadar menepati kriteria sebagai calon boleh menang untuk parti itu.

OJ mahu berusaha mencapai misinya supaya rakyat Balung menikmati pendapatan tinggi tanpa mengenepikan pembangunan seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.
OJ mahu berusaha mencapai misinya supaya rakyat Balung menikmati pendapatan tinggi tanpa mengenepikan pembangunan seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Berdasarkan pemilihan calon oleh pucuk pimpinan, sebenarnya pemilihan dibuat bukan sahaja kerana BN mahu menang, tetapi jauh ke hadapan lagi untuk memajukan Balung.

“Kita perlu mencari mekanisme terbaik untuk memajukan Balung supaya masalah sosio ekonomi, alam sekitar dan kelembapan ekonomi dapat kita selesaikan bersama,” katanya.

OJ akui amanah berat BN digalas kerana penyandang kerusi itu, Datuk Syed Abas Syed Ali, wakil rakyat kedua terbaik di Sabah berdasarkan laporan diterima Perdana Menteri.

Menurutnya perkara itu disampaikan sendiri oleh PM semasa beliau, Ketua Menteri Tan Sri Musa Hj Aman dan Syed Abas bersarapan di rumah PM di Jalan Duta.

Laporan wakil rakyat di Sabah yang terbaik dipegang oleh penyandang kerusi DUN Sulaman merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Hajiji Noor.

Justeru, jika menerima undi majoriti, beliau mahu menumpukan usaha memperhebatkan lagi DUN itu, khususnya mengubah status Pekan Balung sebagai bandar baharu.

Peluang itu dilihat positif menerusi Pelan Pembangunan Wilayah Selatan Sabah (PPWSS) sehingga 2035, yang disifatkannya cara baharu kerajaan BN membangunkan negeri ini.

Menerusi pelan itu, potensi ekonomi di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu akan dipacu dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan secara berterusan.

PPWSSS dibangunkan dengan usaha bersama antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah bersama PEMANDU Associates yang merangkumi 25 projek permulaan.

Selaras perkembangan itu, OJ percaya Balung sudah ada asas dari segi pembangunan sosio ekonomi, namun perlu dieksploitasi sepenuhnya untuk lebih maju ke hadapan.

Beliau optimis peluang yang ada di dalam PPWSS itu juga boleh dimanfaatkan di Balung kerana bersesuaian dengan lokasinya yang terletak berhampiran lapangan terbang.

“Walaupun Balung ini kecil, tetapi pembangunan yang dijalankan mestilah merujuk kepada ‘master plan’ dan dalam PPWSS kita sudah kenalpasti tiga projek utama.

“Pertama, berkaitan pembangunan pertanian, kerana tanah di kawasan ini adalah antara yang paling subur di Sabah, kita akan pastikan kualiti hasil tanaman di sini lebih baik.

“Apabila kualitinya terjaga, kita akan dapat meningkatkan nilai pasaran eksport tanaman kita sekaligus memastikan ekonomi penduduk juga akan turut meningkat,” katanya.

Aspek kedua pula berkaitan pelancongan yang beliau mahu ditingkatkan lagi untuk mendorong kehadiran lebih ramai pelancong luar negara ke Tawau, termasuklah Balung.

OJ percaya aspek menaik taraf lapangan terbang perlu dilakukan termasuklah cadangan memanjangkan plaftorm berlepas/mendarat kapal terbang dan memperbesarkan terminal.

Beliau berhasrat untuk melihat lapangan terbang di daerah ini dapat menikmati status sebagai lapangan terbang antarabangsa untuk meningkatkan kapasiti keupayaannya.

Perkara ketiga, berkaitan usaha untuk memajukan industri sawit di Lahad Datu yang diharap tempiasnya akan turut melimpah ke Tawau khasnya Balung.

Sebagai salah seorang di sebalik PPWSS yang diluluskan Kabinet Negeri Sabah itu, beliau positif usaha mencapai Wawasan 2035 Kerajaan Negeri terbabit boleh dicapai.

“Kita mahu melihat Balung boleh disesuaikan dengan pelan pembangunan PPWSS ini, dan langkah pertama kita harus memastikan setiap rakyat memiliki akses pendidikan.

“Kita mahu rakyat Balung jadi orang terpelajar, kerana pendidikan penting sebab itu kita perlu melakukan kajian jika capaian pendidikan sudah diterima semua rakyat,” katanya.

OJ juga berhasrat untuk memperbesarkan lagi kemudahan jalan raya yang ada di Balung mengambil-kira faktor pertambahan bilangan penduduk yang ramai di kawasan terbabit.

“Akses jalan raya juga penting untuk mengelak kesesakan dan memastikan kawasan ini benar-benar bersedia untuk memenuhi tuntutan menjadi sebuah bandar baharu di Tawau.

“Begitu juga aspek kebersihan alam sekitar yang akan diberikan penekanan demi memastikan hak rakyat terjaga, kerana turut berhubung-kait aspek kesihatan,” katanya.

Dari segi pembangunan ekonomi pula, beliau berkata kelestarian ekonomi orang Balung dapat dicapai apabila mereka turut terlibat aktif di dalam PPWSS yang dilaksanakan.

Bekas pengarah UPEN Sabah itu percaya sekiranya 25 projek pemula yang dirancang dilaksanakan, impaknya juga akan dapat dinikmati bersama oleh rakyat marhaen.

Sebagai orang yang berpengalaman luas dalam pelbagai projek penting kerajaan dan pernah menjawat banyak jawatan penting, OJ dilihat sebagai pilihan tepat pertaruhan BN.

Misinya memastikan rakyat Balung menikmati pendapatan tinggi dan pembangunan seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar, mencerminkan segala-galanya.

Pada 9 Mei, terpulang kepada warga pengundi DUN Balung untuk menentukan sekiranya OJ adalah calon yang tepat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri mereka.

Untuk rekod, DUN Balung mempunyai 14,049 pengundi dengan pecahan 84.4 peratus (Bumiputera Islam), 7.7 peratus (Bumiputera Bukan Islam), 7.2 peratus (Cina) dan 0.3 peratus (lain-Lain).

  • oleh
  • Advertisement